Walau banyak berkelahi, Sanusi kekal jadi ‘poster boy’ PN Kedah

Tiada nama lain untuk diketengahkan sebagai wajah hadapan atau ‘poster boy’ Pas dalam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah yang dijangka diadakan pada Julai depan.

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan dilantik semula ke jawatan Menteri Besar Kedah jika Perikatan Nasional (PN) menang walaupun dia kerap dilihat ‘berkelahi’ dengan banyak pihak sebelum ini.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya, berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri tersebut juga akan menjadi ‘poster boy’ parti hijau itu.

Menerusi kenyataan hari ini, Ketua Dewan Ulama Pas Pusat berkenaan juga yakin kejayaan PN di Kedah pada PRN  akan mempengaruhi negeri lain yang dikuasai Pakatan Harapan (PH).

“Insya Allah, sokongan berterusan daripada rakyat Kedah akan menjadi pemangkin kepada kejayaan PN di negeri ini khususnya dan tidak mustahil, misi ini akan turut memberikan impak langsung kepada negeri lain yang ditadbir PH seperti Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, ketegasan Sanusi menegakkan kebenaran dilihat menjadi sebab mengapa tekanan politik berterusan diarahkan kepada Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menganggap hal itu berlaku kerana PH kini tidak mempunyai modal untuk menjatuhkan pengaruh PN yang mendapat dukungan kuat masyarakat Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Oleh itu, ujarnya, langkah pembunuhan karakter terhadap Sanusi dilakukan kerana Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu juga menjadi faktor penting kemenangan PN khususnya di Kedah.

“Pas Kedah yakin segala perjalanan pentadbiran dan pelaksanaan dasar negeri berada dalam landasan terbaik seiring dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035, malah hasrat ‘The Greater Kedah’ yang digagaskan beliau tidak mustahil akan direalisasikan kelak,” tambahnya Ahmad lagi.

Sanusi, 49, dikenali sebagai satu-satunya menteri besar dari PN yang kerap mengeluarkan kenyataan kontroversi sehingga dianggap gemar ‘berkelahi’ dengan banyak pihak.

Dia yang disokong pejuang maya parti itu sering melemparkan fitnah terhadap Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan Madani antaranya seperti dakwaan tuduhan menggugurkannya dari Majlis Kewangan Negara.

BACA JUGA Sanusi berkelahi saja lebih, pencapaian Kedah tidak ke mana