
Walau dah diberi penjelasan, orang Pas tetap persoal ‘Khalifah Madani’ di konsert Kepci
Seorang bekas pemimpin Pemuda Pas dilihat masih terus mempersoal kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di konsert KEPCI Music Fest di Stadium Malawati, Shah Alam baru-baru ini.
Nurul Islam Mohamed Yusoff yang menggelar Perdana Menteri sebagai ‘Khalifah Madani’ terus menyerang Anwar walaupun penjelasan telah dibuat oleh Andrie Ung Han Xiang semalam.
Malah, dia yang pernah kalah bertanding di Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) selamba menyindir kononnya Anwar ‘serba boleh’.
“Soalan yang masih tak terjawab, apa Khalifah Madani buat kat konsert tu?
“Owh lupa, dia kan serba boleh, hadir syarahan ulamak boleh, hadir tilawah Al-Quran boleh, hadir konsert tunjuk langit boleh, hadir konsert tarian seksi lagi boleh,” kata Nurul Islam menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Andrie memaklumkan bahawa penganjuran konsert itu adalah daripada pihaknya sendiri untuk memberi peluang kepada anak yatim yang kurang berkemampuan untuk memeriahkan festival.
Dia juga memberitahu kumpulan kanak-kanak berjubah hijau dan berserban putih yang menarik perhatian netizen itu merupakan pelajar Madrasah Watahfiz al-Quran Rohingya TTDI Jaya, Selangor.
Jelasnya, festival yang mengumpulkan 700 anak yatim dari 22 rumah anak yatim itu sama sekali tidak melibatkan pihak kerajaan dan KFC.
Mengulas lanjut penjelasan Andrie berkenaan peluang untuk pelajar tahfiz anak yatim yang kurang berkemampuan merasai pengalaman menghadiri konsert, Nurul Islam dilihat berang dengan menulis ‘Waklu Andrie!’.
“Kalau kau (Andrie) kaya sangat, kau taja sekolah mereka, bina bangunan selesa, fasiliti selesa.
“Kau taja dorang gi buat umrah. Ni kau bawa gi tempat maksiat. Kau ni terencat ke apa?” tempelak Nurul Islam.
Konsert KEPCI Music Fest pada 26 Ogos lalu dihadiri Perdana Menteri dan ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Bersempena sambutan ulang tahun ke-50 KFC, konsert itu digamatkan dengan penampilan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Berlangsung hampir tiga jam, konsert berskala besar yang julung kali dipentaskan KFC itu juga membariskan penyanyi ‘otai’ antaranya, Datuk Amy Search, Ella, Misha Omar, Bunkface serta bakat muda seperti Yonnyboii Dolla, Bunga, COEX dan Luqman Podolski.
BACA JUGA Penyokong Pas cepat sebar fitnah, akhirnya muncul kisah sebenar konsert