Wali Allah: Pemimpin Pas anggap umat alami musibah jika ‘hilang’ Hadi

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Mokhtar Senik mendakwa umat Islam di negara ini mengalami musibah sekiranya tiada Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pahang itu, malah menyifatkan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sebagai wali Allah.

“Kiblat perjuangannya (Abdul Hadi) tetap lurus. Sungguh, beliau adalah wali Allah yang nanti kehilangan beliau menjadi musibah kepada umat ini,” katanya.

Menerusi catatannya di Facebook Mokhtar Dup, dia turut mengakui cemburu dengan Abdul Hadi sambil berkongsikan gaya berpakaian Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

“Wallahi. Saya cemburu dengan lelaki ini (TGHH). Beliau memiliki lautan ilmu. Diakui sebagai ulama dan pemimpin bertaraf dunia.

“Tapi lihatlah baju, kain dan kasut beliau. Walau difitah dan dicerca musuh, beliau tetap tenang,” tulisnya.

Sebelum ini pun, Mokhtar memang menyifatkan Abdul Hadi yang juga bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf menteri itu sebagai wali Allah.

Dalam satu catatannya pada tahun 2021, Mokhtar turut meluahkan rasa iri hati dengan terhadap “wali yang tenggelam dalam zauq dan fana’ kerana hubungannya dengan Allah.”

Untuk rekod, mendakwa sebagai wali Allah adalah antara 45 ciri kesesatan dari segi akidah yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2012.

BACA JUGA Hadi boleh dipenjara hingga lima tahun