“Wan Ahmad Fayhsal melampau, larikan diri dari sidang Dewan” – RSN Rayer

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mendakwa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ‘melarikan diri’ dari sidang Dewan Rakyat ketika beliau mahu membangkitkan tindakan Ahli Parlimen Machang itu membuat laporan polis terhadap ucapan Perdana Menteri berkaitan pembatalan cukai Yayasan Albukhary.

Rayer ketika bangkit meminta Timbalan Speaker Datuk Ramli Mohd Noor memberi petua berhubung tindakan Ahmad Fayhsal dari PN yang membuat laporan polis terhadap ucapan Perdana Menteri dalam Dewan Rakyat minggu lalu.

Timbalan Speaker Datuk Ramli Mohd Noor meminta Rayer menulis usul kepada Speaker berhubung tindakan Wan Ahmad Fayhsal membuat laporan polis terhadap Anwar. 

Beliau merujuk laporan polis yang dibuat Ahmad Fayhsal pada 24 Mac lalu terhadap kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Lim Guan Eng semasa menjawat jawatan Menteri Kewangan tidak pernah membuat sebarang pembatalan cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary.

Ahmad Fayhsal mendakwa kedua-dua ahli politik tersebut menyalah guna kuasa penjawat awam bagi menyembunyikan rancangan kesalahan di bawah Seksyen 119 dan 120 Kanun Keseksaan.

Rayer ketika membangkitkan mengenai kebebasan suara Ahli Parlimen di Dewan Rakyat berkata, Ketua Armada Bersatu itu sepatutnya merujuk Anwar kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dan bukannya membuat laporan polis yang disifatkannya sebagai satu tindakan memperlekeh Dewan Rakyat

“Ini adalah sikap melampau dan keterlaluan. Ia sesuatu yang perlu dipandang serius oleh Dewan yang mulia ini. Saya mohon Speaker Dewan ambil perhatian tentang sikap Machang, entah pergi ke mana melarikan diri. Mungkin tahu perkara ini akan dibangkitkan.

“Kalaulah PM dah kelirukan Dewan atau kenyataannya tak betul, perkara ini boleh dirujuk kepada Jawatankuasa.

“Machang boleh buat usul untuk merujuk PM ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. Kenapa tak berbuat demikian?,” soalnya.

Beliau juga mempersoal mengapa tiada anggota pembangkang membangkitkan sebarang persoalan mahupun pertikaian terhadap penjelasan yang diberikan Ahli Parlimen Tambun mengenai isu cukai yayasan Albukhary.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar Timbalan Speaker tidak lagi membenarkan Machang membuat kenyataan yang memperlekeh prosiding Dewan Rakyat.

Ramli dalam petuanya kemudian mengatakan Ahli Parlimen sememangnya mempunyai kekebalan di dalam Dewan Rakyat di mana kenyataan dikeluarkan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau menyarankan agar Rayer membuat usul bertulis kepada Speaker berkenaan hal itu.

BACA JUGA: PM: Bagan tidak batalkan pengecualian cukai Yayasan Albukhary