Wanita AMANAH tuntut MP Pas buat permohonan maaf, tarik balik kenyataan

Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) Kelantan menuntut agar satu permohonan maaf dibuat Ahli Parlimen pembangkang dari Pas berhubung kenyataan mengaitkan Menu Rahmah dengan risiko kesihatan seperti autisme dan kanser.

Ketuanya, Dr Hafidzah Mustakim berkata, ketika para doktor dan komuniti dunia memandang tinggi perubatan berasaskan bukti, agak janggal apabila Ahli Parlimen Kapar membuat andaian menyimpang jauh daripada realiti sebenar.

Menurut Hafidzah yang juga seorang doktor perubatan, Menu Rahmah bukan sekadar hidangan murah, tetapi ia dilengkapi dengan nutirisi diperlukan badan seperti karbohidrat dari nasi, serta protein seperti ayam, ikan dan sayuran.

“Benar ke Menu Rahmah berkualiti rendah sehingga menyebabkan kanser? Saya kesal dengan kenyataan melulu yang dikeluarkan Dr Halimah.

“Di saat banyak pihak terutama golongan rakyat B40 menyambut baik inisiatif kerajaan dan peniaga yang terlibat, kenyataan YB Kapar ini sewajarnya di tarik balik.

“….dan permohonan maaf perlu dikemukakan kerana berpotensi mendatangkan kekeliruan dan persepsi negatif dalam kalangan rakyat terhadap inisiatif kerajaan,” katanya kepada Harapan Daily.

Wanita AMANAH

Menu Rahmah merupakan inisiatif dibawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan makanan lengkap pada harga maksimum RM5.

Sehingga kini lebih RM500,000 restoran terlibat dengan program Menu Rahmah.

Beberapa restoran makanan segera juga menyatakan minat untuk turut sama mengambil bahagian dalam inisiatif yang menawarkan Menu Rahmah bagi meringankan beban rakyat khususnya golongan B40 di negara ini.

Baca juga: (Gambar) Anwar ke Turkiye sampaikan simpati rakyat Malaysia