Wanita PKR anjur Karnival Semarak Wanita Madani

Wanita PKR anjur Karnival Semarak Wanita Madani

Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) PKR menganjurkan program Karnival Semarak Wanita Madani dengan kerjasama pejabat setiausaha kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

MPWP menerusi Biro Pembangunan Komuniti Wanita PKR, memaklumkan karnival yang bertujuan untuk menaiktaraf potensi diri dan pendapatan golongan wanita itu akan diadakan bermula awal bulan ini sehingga November 2023.

Menurut Ketuanya, Noraziah Mohd Razit, program tersebut bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara anggota wanita PKR bersama Wanita PKR Pusat di samping melaksanakan Program Pemerkasaan Wanita Madani.

Selain itu ia juga bagi menyebar luas kepada golongan wanita tentang aspirasi dan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan.

Sepanjang karnival berlangsung, beberapa program bakal dilaksanakan termasuklah program sukaneka rakyat bersama wanita desa.

Aktiviti sukaneka yang dijalankan itu bakal membabitkan penyertaan wanita-wanita desa dan golongan orang Asli.

Seterusnya, program zumba dan kecergasan wanita juga akan diadakan dengan memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Selain itu, Karnival Semarak Wanita Madani juga akan melaksanakan program usahawan Madani ibu dan anak di mana beberapa tapak jualan akan dibuka, dan memaparkan pameran hasil tangan yang disertai oleh usahawan/peniaga kecil anggota wanita dan kanak-kanak dari pelbagai kaum.

Pengisian program adalah pertandingan masakan tradisi pelbagai kaum, pertandingan dekorasi bento dan pertandingan kreativiti kraftangan tempatan.

Tidak terlepas, karnival yang berlangsung selama dua bulan itu juga akan melibatkan program Jualan Rahmah yang memberi peluang kepada penduduk setempat membeli barangan runcit dengan harga murah.

BACA JUGA Usul tergempar Machang ditolak berdasarkan peraturan mesyuarat, duluan

COMMENTS

Wordpress (0)