Wanita PKR Selangor gerak misi bantuan banjir ke Terengganu

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Rozana Zainal Abidin bersama-sama pasukan Wanita PKR Selangor hari ini bergerak ke Terengganu bagi menyantuni dan mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri itu.

Misi Bantuan Banjir ini telah digerakkan sejak 22 Disember lalu dengan mengumpulkan barangan sumbangan orang ramai seperti pek makanan asas, kit ibadah, kit kebersihan diri, perubatan, kit bayi, keperluan tempat pemindahan dan sumbangan pakaian harian.

Bantuan ini juga digerakkan antara lain bagi memudahkan penduduk mendapatkan barangan keperluan ketika berpindah masuk ke rumah masing-masing selepas lebih dua minggu dilanda banjir.

“Hari ini pasukan wanita Keadilan Selangor mengumpulkan barang-barang sumbangan untuk diagihkan ke Terengganu yang baru sahaja dilanda banjir.

“Dengan sokongan Wanita Cabang PKR Selangor, maka kita dapat kumpulkan sumbangan dan akan bergerak ke Terengganu hari ini,” katanya dalam satu rakaman video yang dikongsi dengan Harapan Daily.

Turut sama bergerak bagi mengagihkan bantuan misi banjir ini ialah Ketua Wanita Pakatan Harapan Terengganu, Faizah Ariffin.

“Saya harap semua mangsa bersabar, kami akan terus beri bantuan dari masa ke semasa melalui ketua wanita PH Terengganu,” kata Ruzana.

Pada Disember lalu, Terengganu dilanda banjir yang disifatkan sebagai lebih besar daripada biasa yang mengakibatkan lebih 40,000 mangsa terjejas dan terpaksa ditempatkan di PPS mangsa banjir di lapan daerah di negeri itu.

Banjir yang melanda Terengganu sejak 18 Disember lalu pulih sepenuhnya apabila Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terakhir di daerah Besut ditutup secara rasmi pada 31 Disember lalu.

 

Â