Wee Ka Siong ‘baling telur sembunyi tangan’
Mengapa baru sekarang Datuk Seri Wee Ka Siong mendedahkan bahawa di Parlimen Yong Peng, Johor saja ada lebih 100 ladang ayam dan paling popular menghasilkan telur untuk pasaran tempatan?
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu hanya ‘berbunyi’ selepas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu hujung minggu lalu meninjau ladang telur di Namakkal, Tamil Nadu, India.
Kenyataan Ka Siong yang dilihat menyindir usaha Kerajaan Perpaduan untuk cuba menstabilkan bekalan sumber protein itu boleh diibarat seperti ‘baling telur sembunyi tangan’.
Mempertikai keputusan Putrajaya mengimport telur dari India tidak ubah berlagak pura-pura tidak tahu punca sebenar masalah ghaibnya bekalan telur ayam tempatan berbulan-bulan lamanya.
Walhal, Ka Siong yang juga Presiden MCA sebenarnya dalam masa sama telah mendedahkan sebab mengapa bekalan telur di negara ini tidak mencukupi.
“… berjuta biji telur dieksport ke Singapura setiap hari.” Itu antara pengakuan Ka Siong sendiri menerusi hantaran Facebook, kelmarin.
Kita juga boleh membuat rumusan bahawa krisis bekalan telur ayam di negara ini berlaku lantaran ia hanya boleh dijual dengan 41 sen sebiji yang dianggap tidak berbaloi dengan peningkatan kos.
Tidak hairanlah apabila Ka Siong meluahkan rasa pelik apabila telur diimport dari India dijual dengan 50 sen sebiji, rakyat melihatnya sebagai ‘jurucakap’ kepada pemain industri telur ayam.
Walaupun negara sejak tahun lepas dihambat dengan masalah kekurangan bekalan telur ayam, tidak pula Ka Siong mencanangkan bahawa di kawasan Parlimen diwakilinya itu merupakan tempat paling popular menghasilkan telur untuk pasaran tempatan.
Bahkan, jika Ka Siong tidak bersikap baling telur sembunyi tangan, pemimpin itu sepatutnya awal-awal lagi memberi amaran keras kepada semua pengeluar telur terutama di kawasannya untuk memastikan pengeluaran bagi kegunaan domestik dipertingkat.
Atau adakah ‘kritikan’ Ka Siong itu muncul setelah langkah Kerajaan Perpaduan yang telus dalam mengatasi masalah bekalan telur ini mula membuahkan hasil?
Umum tahu, tiada monopoli di sebalik keputusan MAFS membenarkan kemasukan telur ayam import dengan jaminan selamat, bersih, halal dan bebas dari segala penyakit.
Apapun, keputusan MAFS di bawah Kerajaan Perpaduan kini untuk mengimport telur tepat pada masanya bagi ‘mengajar’ pemain gergasi industri telur ayam untuk tidak lagi terus angkuh menjadi kartel yang mengawal pasaran telur ayam di negara ini.
Keluar dari isu seputar mencukupkan telur ayam di pasaran tempatan, dalam hal berkaitan keterjaminan makanan, sikap mana-mana elit politik yang ‘baling telur sembunyi tangan’ hanya akan tambah mengenyangkan tembolok pemain gergasi industri.
Baca juga Jika harga telur dinaikkan, ayam bertelur 2 kali sehari, logik Wee Ka Siong
Â