Yana akui belum terima sebarang maklumat pengampunan ayahnya

Anak Najib Datuk Seri Najib Razak hari ini mengakui tidak menerima sebarang maklumat berhubung permohonan ayahnya untuk diampun dan dibebaskan dari penjara.

Nooryana Najwa atau lebih dikenali sebagai Yana memberitahu bahawa mereka sekeluarga juga sedang menanti perkembangan terkini mengenai hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri itu.

“Ramai yang tanya sama ada kes DSN (Datuk Seri Najib) dibincangkan di mesyuarat Lembaga Pengampunan hari ini.

“Untuk makluman semua, setakat ini kami sekeluarga belum terima sebarang maklumat atau berita berkenaan rayuan DSN.

“Kami juga seperti saudara-saudari sedang menunggu sebarang kemaskini atau berita baik,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Ketua Puteri Umno Lembah Pantai tersebut bagaimanapun akan cuba memperjuangkan pembebasan ayahnya yang berusia 70 tahun itu.

“Walau apapun, kami akan terus berusaha menegakkan keadilan buat DSN dan marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT agar bossku (Najib) boleh pulang ke pangkuan keluarga secepat mungkin,” tambah Yana lagi.

Sidang Lembaga Pengampunan pagi tadi dilapor tidak membincangkan petisyen rayuan pengampunan yang difailkan oleh Najib untuk dibebaskan dari penjara.

Najib yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Pekan hampir 40 tahun, sedang menjalani hukuman 12 tahun penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada September tahun lalu, Najib memfailkan permohonan pengampunan diraja selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman penjara itu serta denda RM210 juta setelah didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Namun, Najib gagal dalam permohonannya untuk menyemak sabitan dan hukuman itu pada 31 Mac lalu.

BACA JUGA Kes baharu sahaja difailkan, Lembaga Pengampunan tidak bincang permohonan Najib

 

Â