Zahid ajak Umno sekat kemaraan Pas ke Johor

Zahid ajak Umno sekat kemaraan Pas ke Johor

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak pemimpin dan ahli Umno di Johor menyekat kemaraan Pas dari memasuki negeri itu.

Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, kemenangan calon Amanah yang mewakili gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) Nazri Abdul Rahman, juga perlu untuk menyekat PAS daripada bertapak di negeri itu yang kini diterajui oleh BN.

“Kita tidak mahu PAS menjadikan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, sebagai tapak kedua selepas Maharani.

“Hanya orang Bakri dan Simpang Jeram yang boleh nafikan hasrat mereka itu, kita mesti susun strategi. Kerana PAS penuh muslihat… kita mesti lawan balik,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan jentera BN DUN Simpang Jeram di Muar, Johor semalam, lapor Bernama.

Turut hadir Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Mohamed Khaled Nordin dan Nazri.

Sehubungan itu, Zahid yang juga Presiden Umno meminta Nazri, yang juga bekas jurutera di Majlis Perbandaran Muar, untuk bertindak sebagai ‘pakar banjir’ bagi menolak gelombang PAS.

“Sebab itu sebagai pakar banjir, beliau mesti tolak banjir itu, kita mesti jadikan kerajaan perpaduan yang membabitkan gabungan PH dan BN ini, membanjiri seluruh negeri Johor sebagai negeri perpaduan paling kuat di negara ini,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, BN mencatat kemenangan besar dengan memperoleh majoriti mudah apabila memenangi 40 kerusi DUN, manakala PN 3 kerusi dan PH 10 kerusi.

KENANGAN PAHIT PAS TIKAM BELAKANG UMNO

Selain itu Zahid turut mengimbas semula ‘kenangan pahit’ Umno semasa menjadi rakan kongsi PAS ketika dalam Muafakat Nasional, dengan menyatakan PAS sentiasa berusaha untuk ‘menikam dari belakang’.

“Apabila kita jadi pembangkang dan ketika itu PAS juga pembangkang, kita cuba untuk menunjukkan penyatuan ummah dan kita juga terjemahkan Muafakat Nasional, namun dalam tempoh itu kita belajar hati budi mereka,” katanya.

Kedua-dua kerusi Simpang Jeram dan Pulai kosong susulan kematian penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Penamaan calon hari ini menyaksikan saingan tiga penjuru di kedua-dua kerusi berkenaan antara PH, PN dan Bebas.

 

BACA JUGA Mahfuz optimis Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram milik Perpaduan

COMMENTS

Wordpress (0)