Zahid, dalang yang heret Bersatu ke mahkamah, dakwa Mahiaddin

Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin mendakwa Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai dalang yang mengheret Bersatu ke mahkamah dan menjadi sasaran pedakwaan terpilih.

Ujarnya, tuduhan kluster mahkamah terhadap ahli Bersatu adalah satu tindakan yang sudah dirancang sejak awal lagi oleh Ahmad Zahid.

Tindakan itu katanya antara usaha Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mahu melumpuhkan partinya setelah melihat sokongan kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) semakin kuat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Sebelum ini Presiden Umno ada keluarkan kenyataan, mereka tuduh kami kluster mahkamah dan selepas ini (kata Zahid) akan ada satu kluster mahkamah baharu. Ia seolah ‘pre-empting’.

“Apa yang berlaku, saya rasa fikir ia telah dirancang. Niatnya pasti tidak baik dan kita sudah pun membuat laporan polis

“Bersatu sebenarnya telah pun menjangkakan bahawa inilah yang akan dilakukan oleh kerajaan PH-BN untuk melumpuhkan Bersatu setelah melihat sokongan kepada Bersatu semakin kuat,” katanya kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Terdahulu, Mahiaddin, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Hamzah Zainuddin dan Naib Presidennya, Datuk Seri Radzi Jidin hadir ke mahkamah bagi memberi sokongan kepada Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, pendakwaan terpilih ini berlaku ketika kerajaan PH-BN dilihat semakin gagal dalam menyelesaikan masalah rakyat dan bakal ditolak dalam pilihan raya di enam buah negeri yang akan berlangsung tidak berapa lama lagi.

Beliau menyifatkan tindakan mengheret Bersatu ke mahkamah sebagai tindakan ‘witch-hunting’ yang sengaja mencari kesalahan pihak lawan.

“Mengapa saya katakan pendakwaan terpilih kerana parti-parti politik dalam kerajaan terutamanya PH dan BN juga menerima sumbangan daripada ahli-ahli perniagaan ataupun sumbangan orang ramai tertentu.

“Tetapi pemimpin parti mereka ini tidak pun didakwa di mahkamah.

“Adalah ditegaskan pada sumbangan yang diterima di Bersatu adalah dari sumber yang sah dan tidak menyalahi undang-undang,” katanya.

BACA JUGA: Wan Saiful didakwa terima rasuah RM6.9 juta Dana Wibawa