10 bukti pencapaian kerajaan PH Negeri Sembilan wajib rakyat tahu

EKSKLUSIF Menjengah Mei ini, genap lima tahun Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan mengemudi pentadbiran kerajaan.

Sepanjang tempoh yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun itu, banyak kejayaan dicapai bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Berikut 10 bukti pencapaian yang berjaya dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan PH di Negeri Sembilan:

1. Rekod kutipan hasil tertinggi

Prestasi kutipan hasil Kerajaan Negeri sejak ditadbir oleh Pakatan Harapan meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Rekod kutipan hasil tertinggi pernah dicapai dalam sejarah Negeri Sembilan pada tahun 2019 berjumlah RM556.44 juta dengan jumlah surplus sebanyak RM147.47 juta.

Ini bukti Kerajaan Negeri PH telah melaksanakan amanah yang ditanggungjawabkan oleh rakyat sebaik mungkin.

Kutipan hasil dan surplus yang tinggi membolehkan Kerajaan Negeri membentangkan belanjawan defisit pada tahun 2021 dan 2022.

Hasil negeri dikembalikan semula kepada rakyat Negeri Sembilan dalam pelbagai bentuk inisiatif, insentif, bantuan kewangan, bantuan modal dan projek-projek pembangunan.

 

2. Raih pelaburan RM23.32 bilion

Jumlah pelaburan langsung yang berjaya dibawa masuk ke Negeri Sembilan dari tahun 2018
hingga 2021 berjumlah RM23.32 bilion.

Bermula tahun 2019 sehingga 2022, nilai pelaburan tahunan yang diterima oleh Negeri Sembilan melebihi RM5 bilion setiap tahun dengan rekod pelaburan tertinggi pada tahun 2020 berjumlah RM7.93 bilion.

Rekod pelaburan tertinggi Negeri Sembilan yang pernah dicatatkan sebelum tahun 2018 adalah sebanyak RM1.91 bilion iaitu pada 2016.

Data-data tersebut menjadi bukti pencapaian kerajaan diterajui PH serta keberkesanan Invest NS selaku penyelaras dalam menarik pelaburan ke Negeri Sembilan.

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Rakyat Negeri Sembilan mendapat banyak manfaat daripada kejayaan kerajaan mengaut pelaburan melebihi RM5 bilion setiap tahun termasuk semasa krisis pandemik Covid-19.

 

3. Rizab negeri berganda

Kedudukan rizab Kerajaan Negeri masih lagi berada dalam keadaan kukuh walaupun mengharung getir Covid-19 pada tahun 2020 dan 2021.

Sehingga 15 November 2022, jumlah rizab Kerajaan Negeri adalah berjumlah RM748.27 juta yang terdiri dari Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM433.91 juta dan Akaun Amanah Disatukan berjumlah RM314.36 juta.

Sepanjang empat tahun pentadbiran PH, kedudukan rizab negeri adalah lebih tinggi daripada rizab yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu dengan rekod tertinggi berjumlah RM889.75 juta pada tahun 2020.

Untuk rekod, rizab Akaun Hasil Disatukan yang ditinggalkan pada tahun 2018 lalu hanyalah sebanyak RM369.31 juta.

Kedudukan rizab kewangan yang kukuh membolehkan Kerajaan Negeri menyediakan belanjawan tambahan berjumlah RM50 juta semasa wabak Covid-19 pada tahun 2020.

4. Semua GLC mampu bayar bonus

Sebelum PH mentadbir kerajaan negeri, ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak mampu membayar gaji. Berbeza pada masa ini, semua GLC telah mampu membayar bonus setiap tahun.

Peningkatan keuntungan Badan Berkanun Negeri dan anak syarikat turut memberikan pulangan dalam bentuk hasil kepada Kerajaan Negeri apabila tunggakan hutang-hutang sudah mula dijelaskan.

Kerajaan negeri telah berjaya menambah sebanyak 29 peratus saham anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan (PKNNS) iaitu Negeri Roadstone Sdn Bhd dari asalnya 51 peratus saham kepada 80 peratus saham.

Malah, PKNNS juga telah bergabung dengan Menteri Besar Diperbadankan (MBI) untuk mengambil alih 100 peratus saham syarikat Pati Nilai Quarry (PNQ) pada bulan Jun 2021.

MBI pula, telah mengambil alih 100 peratus saham syarikat Tanjung Leman Theme Park iaitu salah satu anak syarikat milik Johor Corporation (JCorp) pada November 2021. Ini membolehkan MBI memiliki seluas 60 ekar tanah kuari di Sungai Gadut.

 

5. Hampir 6,000 projek jalan raya siap

Kerajaan Negeri Sembilan memberikan tumpuan terhadap kemudahan infrastruktur asas
terutama penyelenggaraan jalan-jalan negeri.

Sebanyak 5,985 projek Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) telah dilaksanakan di seluruh Negeri Sembilan dari tahun 2019 sehingga 2022.

Projek terbabit melibatkan 5,376 km panjang jalan luar bandar, jalan perbandaran dan kawasan perindustrian dengan kos projek sebanyak RM1.29 bilion.

Selaras dengan penekanan kepada aspek integriti dan ketelusan, Kerajaan Negeri telah melaksanakan perolehan kerja secara undian sejak tahun 2020 sehingga kini.

Langkah tersebut membolehkan peruntukan yang besar bagi projek itu dapat dimanfaatkan oleh kontraktor-kontraktor kecil Bumiputra tanpa mana-mana pihak memonopoli.

Kaedah pengundian projek yang telus ini memanfaatkan kontraktor kecil bumiputera kelas G1 dan memberi peluang sama rata kepada kesemua kontraktor yang berdaftar di bawah kelas tersebut.

Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 2,126 projek MARRIS telah diundi dengan jumlah kos
projek sebanyak RM200.23 juta.

Lebih membanggakan, Negeri Sembilan berjaya menduduki tempat pertama nasional bagi Prestasi Perbelanjaan MARRIS pada tahun 2020 dengan prestasi perbelanjaan pada tahap 132.03 peratus berjumlah RM455.95 juta.

 

6. Syiar Islam disuburkan

Kedaulatan agama Islam dipertahan dan syiar Islam disuburkan di negeri beradat dengan menyediakan peruntukan yang besar tanpa meminggirkan keperluan agama lain.

Sepanjang tempoh empat tahun pentadbiran PH, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan mencecah RM52.1 juta bagi membina tujuh masjid baharu di seluruh Negeri Sembilan.

Angka itu tidak termasuk RM17.69 juta untuk kerja-kerja menaiktaraf dan menyelenggara surau dan masjid dengan DUN Chembong menerima peruntukan tertinggi iaitu RM2.23 juta walaupun dalam kawasan ADUN bukan kerajaan.

Dalam masa sama, jumlah peruntukan pembangunan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS) di bawah vot P63 dari tahun 2019 hingga 2022 berjumlah RM52.56 juta yang jauh lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Bayaran zakat juga semakin meningkat setiap tahun dari 2019 hingga 2021 dengan kutipan
tertinggi pada tahun 2021 sebanyak RM142.36 juta.

Sehingga Oktober 2022, MAINS telah menerima sebanyak RM104 juta kutipan zakat dari pelbagai kategori dan telah pun mengagihkan sebanyak RM112 juta kepada 8 golongan asnaf yang layak menerima.

Bukan hanya itu, kediaman rasmi Menteri Besar pula menjadi tempat berlangsungnya majlis usrah bulanan dengan baru-baru ini mengetengahkan kuliah bertajuk, “Pembentukan Akhlak Masyarakat Madani” yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz.

 

7. Institusi Pendidikan Negeri diperkasa

Kerajaan Negeri juga komited untuk memperkasakan institusi pendidikan agama dan TVET supaya pelajar mendapat kemudahan pembelajaran yang kondusif dan selesa.

Janji untuk menaiktaraf bangunan akademik milik Kolej Yayasan Negeri Sembilan di
Gentam, Kuala Pilah telah dilunaskan dengan kos sebanyak RM13 juta termasuk
peralatan.

Dalam masa sama, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.32 juta dari tahun 2020 hingga 2022 untuk kerja-kerja menaiktaraf asrama dan kemudahan pembelajaran di Sekolah Agama Berasrama Penuh (SABP) Maahad Ahmadi, Gemencheh.

Sebanyak RM13.1 juta pula akan dibelanjakan untuk kerja-kerja membina blok akademik, asrama dan dewan makan yang baharu untuk Sekolah Tinggi Agama Malaysia (STAM), Maahad Ahmadi, Gemencheh.

Sehingga November 2022, sebanyak 90 buah sekolah rendah dan menengah telah menerima peruntukan khas penyelenggaraan sebanyak RM1 juta.

Kerajaan juga telah melunaskan janji untuk menyiapkan kerja-kerja menaik taraf Rumah Negeri Sembilan di Kaherah, Mesir termasuk penggantian lif dan perabot serta menaik taraf tandas bagi keselesaan anak-anak negeri.

 

8. Masalah tertunggak rakyat terlerai

Kerajaan sedaya upaya cuba menyelesaikan masalah tertunggak yang membelenggu segelintir rakyat yang gagal diselesaikan sejak sekian lama.

Hasil sifat prihatin Kerajaan Pakatan Harapan dengan mendengar rintihan rakyat terbukti apabila banyak kekusutan masalah akhirnya terlerai.

Antaranya, seramai 211 peneroka di Gatco menerima hak milik tanah dari Kerajaan Negeri pada 27 Mei 2022 selepas sekian lama menanti selama 40 tahun.

Begitu juga, penantian selama 13 tahun juga berakhir bagi 206 pembeli rumah di Taman Perpaduan Heights yang terbengkalai sejak sekian lama.

Mereka akhirnya telah menerima sebidang tanah sebagai tapak ganti rumah berkeluasan sehingga 5,000 kaki persegi dengan caj premium yang nominal.

Kerajaan juga berjaya merungkai isu-isu hak milik tanah kepada 159 orang penduduk FELCRA Rompin A yang telah menunggu selama 43 tahun sejak tahun 1979.

Dalam masa sama, nasib seramai 44 bekas pekerja estet Ladang Kirby turut mendapat pembelaan yang sewajarnya dari kerajaan negeri.

Penantian selama 22 tahun untuk memiliki sebuah rumah sendiri kini semakin
menjadi kenyataan apabila projek perumahan Rumah Mampu Milik sebanyak
203 unit sedang giat dilaksanakan oleh MBI dan dijangka siap pada Februari
2024.

Asalkan berkelayakan memohonlah rumah mampu milik, jika layak dan penuhi syarat dapatlah.

9. Diiktiraf Negeri Bahagia

Negeri Sembilan telah diiktiraf sebagai Negeri Bahagia berdasarkan Indeks Kebahagiaan 2021 Jabatan Perancangan dan Desa (PLANMalaysia) berkat usaha yang berterusan daripada semua pihak.

Pengiktirafan tersebut diperoleh apabila kesemua Pihak Berkuasa tempatan (PBT) memperoleh skor indeks kebahagiaan melebihi 80 peratus dengan Bandar Tampin merupakan antara 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia dengan skor tertinggi 99.5 peratus.

Sementara itu, Majlis Daerah Kuala Pilah menduduki Pencapaian Terbaik SDG 11 (Sustainable Development Goals), Program Pengukuran Bandar Mapan Malaysia melalui skor MURNInets sempena Hari Perancang Bandar Sedunia 2022.

Pencapaian membanggakan itu hasil daripada kesungguhan Kerajaan Negeri memastikan kemudahan perbandaran yang berkualiti tinggi supaya berdaya huni dan bahagia untuk didiami.

 

10. Kebajikan penjawat awam dijaga

Pelbagai bentuk inisiatif untuk manfaat penjawat awam diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri seperti Pinjaman Kenderaan Tanpa Faedah, Pinjaman Komputer Tanpa Faedah dan Perumahan Penjawat Awam.

Seramai 530 penjawat awam telah diberikan kelulusan pinjaman kenderaan dan komputer tanpa faedah dengan jumlah kelulusan sebanyak RM10.61 juta sehingga November 2022.

Dalam masa, 349 penjawat awam lagi sudah menerima kunci Taman Rimbun Harapan di Bandar Ainsdale pada 2 April 2022.

Malah, Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada kakitangan kerajaan negeri di Negeri Sembilan adalah kedua tertinggi di Malaysia selepas Selangor.

Kerajaan PH di Negeri Sembilan memberikan BKK sebanyak satu bulan setengah gaji atau minimum RM2,500 kepada 5,599 orang penjawat awam.

Bonus berkenaan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada penjawat awam negeri itu yang dibayar sebanyak dua kali iaitu pada awal Januari dan minggu pertama April 2023.

BACA JUGA PRN Negeri Sembilan: Program ramah mesra rakyat pikat pengundi atas pagar

Â