‘Tutup dulu sistem visa’ – Rakyat gesa kerajaan sekat individu dari China

Rata-rata rakyat menggesa kerajaan mengambil tindakan segera menyekat ketibaan pengembara dari China ekoran gelombang ganas kes wabak Covid-19 di republik itu.

Reaksi orang ramai itu dilihat membanjiri ruangan komentar menerusi hantaran terbaharu di Facebook rasmi Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Ada antaranya turut mengesyorkan supaya kerajaan menutup permohonan visa bagi menghalang kemasukan individu dari China buat sementara waktu.

“Cadang tutup dulu sistem visa supaya mereka tak dapat mohon, than selesai,” tulis pengguna Facebook, Justin Lee Soon.

Dia juga menegaskan langkah segera bagi mencegah penularan di luar kawalan sebenarna bukan lagi ‘jika perlu’ sebaliknya amat perlu.

“Ia ibarat sebelum air itu kotor, tutupkan dulu. Kalau dah air tu macam warna kopi o, susahlah nak bersihkan,” tambahnya lagi.

Gesaan banyak pihak supaya Malaysia segera menyekat kemasukan pengunjung dari China selain memperketat protokol pemeriksaan kesihatan di pintu masuk negara lantaran belajar daripada pengalaman pahit lalu.

Ekoran merebaknya jangkitan virus Covid-19 selepas mula dikesan di bandar Wuhan di tengah China pada akhir 2019, pelaksanaan siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengakibatkan jutaan rakyat negara ini terjejas.

Oleh itu, warganet berpendapat langkah sekatan itu perlu dilaksanakan memandangkan Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah telah merangka langkah-langkah bagi mengendalikan kemasukan pengunjung dari China.

Sementara itu, Dr Zaliha dalam kenyataan hari ini berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedia memperketat prosedur operasi standard (SOP) kesihatan di pintu masuk negara.

Menurutnya, langkah itu akan dilaksanakan jika perlu bukan sahaja kepada individu yang tiba dari China bahkan dari semua negara di dunia.

Beliau turut memberitahu mengikut maklumat dilaporkan China kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), varian dan subvarian yang ada di negara itu juga telah dikesan di Malaysia.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengingatkan bahawa Malaysia perlu bersedia secukupnya dalam berdepan kemasukan pengembara khususnya dari China seawal 8 Januari ini.

Beliau menuntut KKM mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mencegah lonjakan penularan Covid-19 lebih-lebih lagi menjelang perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Menjelang minggu akhir tahun 2022, pakar kesihatan global dilapor khuatir dengan pola jangkitan mendadak kes Covid-19 di China termasuk kemungkinan penularan varian baharu yang lebih menakutkan.

Sejak beberapa minggu lalu, China telah banyak melonggarkan dasar ‘Sifar-Covid-19’ susulan aksi unjuk rasa di seluruh republik itu mendesak pemerintah menamatkan perintah berkurung dan memberikan lebih banyak kebebasan politik.

Namun, sejak sekatan dihentikan, wabak itu dilapor menular dengan cepat malah firma data kesihatan berpangkalan di United Kingdom, Airfinity memaklumkan bahawa kematian akibat jangkitan Covid-19 pada masa ini mencecah anggaran 9,000 sehari.

Kerajaan China bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa negara itu sengaja tidak melaporkan jumlah kematian sebenar ketika banyak pihak mempertikai ketepatan data kes dan kematian akibat Covid-19.

Tindakan China menghadkan takrif kematian Covid-19 dalam jumlah rasmi juga mendorong pakar menjangkakan jumlah sebenar jangkitan dan kes kematian berkaitan wabak itu adalah jauh lebih tinggi.

China hanya mengira kes kematian berkaitan Covid-19 bagi pesakit yang maut akibat radang paru-paru atau kegagalan pernafasan.

Dalam masa sama, Reuters melaporkan beberapa tapak pengebumian di bandar termasuk Chengdu dan Beijing lebih sibuk sejak China secara tiba-tiba menghentikan sekatan Covid-19 bulan lalu.

Kelmarin, biarpun gelombang baharu Covid-19 membadai China, ribuan rakyat negara itu berhimpun di seluruh bandar menghitung detik Tahun Baharu termasuk di Wuhan.

 

Â