Bantuan awal RM1,000 kepada tiga keluarga mangsa kebakaran

Sumbangan berjumlah RM1,000 setiap keluarga diberi malam tadi kepada tiga keluarga mangsa kebakaran rumah teres di Jalan Dewan Simpang Tiga Kampung Tanggut di Gombak, Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, memberitahu bantuan RM500 disalurkan Pejabat Tanah dan Daerah Gombak manakala RM500 adalah bantuan Pusat Khidmat Parlimen Gombak.

Menurutnya, keluarga yang kehilangan ahli keluarga juga menerima sumbangan tambahan RM500.

Beliau dilapor berkata demikian selepas melawat mangsa kebakaran di Dewan Balai Bomba Sukarela Gombak, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi semalam, Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adik lelakinya berusia tujuh tahun, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan ditemukan rentung.

Mengulas lanjut, Amirudin menerusi hantaran di Facebook beliau berkata, kerajaan negeri akan menguruskan bantuan kepada mangsa menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Pejabat Daerah.

Memetik BH, beliau berkata, memandangkan bantuan menyewa di tempat lain dengan bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan JKM akan dipertimbang.

“Saya difahamkan ketiga-tiga rumah berkenaan adalah rumah yang disewa mangsa. Jika tanah sendiri, kita boleh beri bantuan membina semula rumah,” ujarnya lagi.

Baca juga Sany ucap ‘selamat memancing’ kepada Shahidan