Pihak lawan kuasai TikTok untuk sebar kebencian, tuduhan tanpa bukti

Fokus Pilihan Raya Terengganu

Kekalahan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu terutama di kerusi-kerusi kawasan Pantai Timur disebabkan pihak lawan menguasai media sosial dan TikTok untuk memainkan isu yang membangkitkan kemarahan pengundi.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mengakui, banyak tohmahan dan hujah yang diutarakan bukan sahaja tidak tepat tetapi begitu agresif sehingga menyentuh perasaan pengundi.

Beliau sendiri berasa hairan dengan kemampuan pihak lawan menyebar begitu banyak tuduhan tidak benar semata-mata mahu meraih undi dan simpati pengundi.

“Tumpuan mereka bukan kepada fakta, tapi lebih kepada mahu bangkitkan perasaan atau emosi yang boleh mencetuskan kemarahan, kebencian, sehingga menggerakkan satu gelombang yang tidak berpatutan.

“Kita agak hairan dengan kebolehan pihak lawan untuk melontar begitu banyak perkara-perkara yang tidak benar dan tidak tepat.

“Kalau dulu kita pernah lalui fasa ini pada 80an dan 90an di mana kebencian ditiup dengan begitu kencang, tetapi kita tak menjangkakan perkara sama diulangi dengan lebih agresif pada PRU15,” katanya dalam temu bual bersama Harapan Daily baru-baru ini.

Selepas PH memenangi PRU15, propaganda kaum dan agama hebat dimainkan oleh penyokong lawan sehingga isu 13 Mei hangat ditularkan semula di TikTok dengan niat mengaitkannya dengan DAP.

Pihak polis, orang awam dan pelbagai pihak tampil memberi amaran keras agar isu perkauman tidak dimainkan semula yang boleh mencetuskan kebimbangan awam.

Mengulas lanjut Kamarul berkata, menjadi tugas besar untuk PH menangani sentimen dan persepsi yang sengaja dimainkan pihak lawan supaya hujah-hujah yang disampaikan ini boleh diperjelaskan dengan lebih tepat dan rasional.

Antara isu yang dimainkan adalah tuduhan mengaitkan parti gabungan di dalam Pakatan Harapan dengan komunis.

“Jadi kita perlu tangani tuduhan emosional ini kerana apabila tekanan emosional dikenakan kepada pengundi, mereka mungkin tidak dapat berfikir dengan tenang dan jelas. Di situlah pertimbangan melulu dan tidak tepat dilakukan,” katanya lagi.

PH merekodkan kekalahan sehingga hilang wang pertaruhan di semua lapan kerusi Parlimen di Terengganu dalam PRU15 November tahun lalu.

Begitu juga di Kelantan yang merupakan kubu kuat Pas, kesemua 14 calon PH tewas di mana 12 daripada mereka hilang wang deposit iaitu di Tumpat, Pengkalan Chepa, Pasir Mas, Bachok, Rantau Panjang, Ketereh, Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Gua Musang.

Setiap calon yang bertanding kerusi Parlimen perlu mempertaruhkan wang deposit sebanyak RM10,000 dan wang itu hanya akan dipulangkan selepas calon memperoleh lebih daripada satu per lapan dari jumlah undi yang diterima oleh calon-calon yang bertanding.

Baca juga: Jakel Shah Alam terbakar lagi libatkan bilik simpanan langsir