ABIM Sabah sokong PM perkukuh autonomi hak negeri

Pengumuman Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berhubung kelulusan projek RM50 juta yang boleh diputuskan di peringkat negeri tanpa perlu melalui birokrasi Persekutuan disambut baik oleh Angkatan Belia Islam (ABIM) Sabah.

Pengerusinya, Mohd Nur Hilmie Milus berkata pengumuman Menteri Kewangan itu amat menggembirakan rakyat Sabah selepas Kerajaan Persekutuan sebelum ini memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Kerajaan Sabah pada 21 Disember 2022 lalu.

“Pengumuman tersebut (kelulusan projek) menunjukkan usaha keseriusan dan keprihatinan Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membela nasib rakyat Sabah dengan menunaikan hak autonomi Sabah dan Sarawak serta memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Tentunya selepas ini Kerajaan Negeri akan dapat menyelaras, melulus dan menguruskan peruntukan-peruntukan tersebut dengan baik serta lancar tanpa melalui liku-liku birokrasi yang biasanya melambatkan proses kelulusan projek dan akhirnya pembangunan infra di Sabah menjadi lembap dan selalu mengalami kelewatan dari tarikh jangka siap,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Hilmie berharap dengan kelebihan wewenang yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan tersebut maka Kerajaan Negeri akan memanfaatkannya untuk menaiktaraf keperluan infrastruktur asas seperti kemudahan bekalan air bersih, tenaga elektrik, jalanraya serta liputan jaringan komunikasi internet yang masih menjadi masalah utama rakyat ketika ini.

ABIM Sabah juga, katanya mengesa agar Kerajaan Negeri tidak lupa untuk menambahbaik fasiliti-fasiliti pendidikan di sekolah-sekolah, terutamanya kawasan pedalaman.

“Perihal keperluan fasiliti pendidikan ini diharapkan dimasukkan dalam permohonan peruntukan khas yang bakal dibincangkan oleh Ketua Menteri Sabah bersama Perdana Menteri dalam waktu yang terdekat. Seterusnya projek yang bertumpu di sekolah haruslah dikaji, dinilai serta dicerakinkan semula masalah yang dialami oleh pihak sekolah tersebut agar ia boleh membantu menyelesaikan isu pendidikan setempat dan ditambah baik lagi demi meningkatkan minat pelajar datang ke sekolah,” katanya.

Tegas beliau, ABIM Sabah berharap dengan usaha murni yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri akan mengeratkan hubungan dan memacukan semangat perpaduan di antara Negeri dan Persekutuan dalam hal pembangunan serta kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

BACA JUGA ‘Beri PM Anwar masa sekurang-kurangnya 100 hari laksana tugas’