Sudah ada perbincangan kerjasama PH-BN hadapi PRN di Terengganu

Fokus Pilihan Raya Negeri Terengganu

EKSKLUSIF Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menjangkakan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional akan bekerjasama bagi berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang di negeri-negeri di Pantai Timur.

Beliau ketika ditemui Harapan Daily baru-baru ini memberitahu, perbincangan sudah digerakkan melibatkan pemimpin PH dan BN Terengganu, namun ia masih di peringkat awal.

Beliau optimis bahawa kerjasama dua parti politik ini dapat dimeterai berdasarkan reaksi positif yang diterima hasil perbincangan bersama baru-baru ini.

“Melihat senario di peringkat nasional di mana BN dan PH bergabung mengadakan kerjasama, kemungkinan besar situasi sama akan diwujudkan di peringkat Pantai Timur.

“Sebenarnya kita dah mulakan proses ini (perbincangan) dan (hasilnya) amat positif. Perbincangan ini melibatkan pemimpin Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di peringkat Terengganu.

“(Tetapi) baru di peringkat permulaan. Kita ada perbincangan awal dan kita akan pergi ke peringkat jawatankuasa yang lebih terperinci,” jelasnya.

Dalam temubual itu juga, Kamarul memberi bayangan bahawa akan ada satu kerjasama menyeluruh bersama BN di Pantai Timur.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional itu juga berpandangan, PH mahupun BN tidak boleh bergerak sendirian jika mahu mengalahkan Pas.

“Saya rasa betul, kita akan adakan kerjasama yang menyeluruh, lebih komprehensif dan tidak boleh bergerak sendirian. Mesti secara bersepadu,” katanya lagi.

Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu memenangi kesemua lapan kerusi Parlimen di Terengganu dan 14 kerusi di Kelantan

Kemenangan itu termasuk di kerusi Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang apabila memperoleh 73,115 undi dengan majoriti 41,729 undi.

PH pula merekodkan kekalahan sehingga hilang wang pertaruhan di semua lapan kerusi Parlimen di Terengganu.

Keputusan juga amat mengejutkan apabila calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang memegang Parlimen berkenaan selama 11 penggal akhirnya tewas dengan calon Pas, Mohd Azizi Abu Naim.

Keputusan kepimpinan Umno dan BN untuk bersama dengan PH di peringkat Persekutuan kini membuka peluang untuk Pas dikalahkan di pengkalan mereka iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Baca juga: Pihak lawan kuasai TikTok untuk sebar kebencian, tuduhan tanpa bukti

Baca juga: Bahang mudarat ‘Amanat Haji Hadi’ masih terasa