Bahang mudarat ‘Amanat Haji Hadi’ masih terasa

EKSKLUSIF Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mengakui bahawa ‘Amanat Haji Hadi’ masih mempengaruhi pemikiran sebahagian rakyat di Pantai Timur terutamanya di negeri itu.

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri itu menegaskan bahawa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sejak 1981 telah banyak mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat di Pantai Timur khususnya di Terengganu.

“Haji Hadi telah banyak mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat di Pantai Timur khususnya di Terengganu.

“Keluarga berpecah-belah, kenduri dipulaukan, sembahyang dua imam, sehingga hari ini masih boleh dirasakan bahangnya,” katanya ketika ditemubual secara eksklusif oleh Harapan Daily di ibu negara baru-baru ini.

Justeru, Raja Kamarul tidak menolak pengaruh buruk amanat yang mengakibatkan perpecahan serius dalam kalangan umat Islam itulah diterjemah dalam keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Untuk rekod, Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 menyapu bersih semua lapan kerusi Parlimen di Terengganu dan 14 kerusi di Kelantan.

Hasil gelombang kebencian termasuk menerusi pelantar media sosial juga meyaksikan PN menguasai 14 daripada 15 kerusi di Kedah.

Dalam masa sama, PN menyapu bersih semua tiga kerusi Parlimen di Perlis selain tiga daripada 13 kerusi Pulau Pinang, 10 daripada 24 kerusi Perak dan tujuh daripada 14 kerusi Pahang.

Walau bagaimanapun, Raja Kamarul hairan apabila ceramah Abdul Hadi pada 1981 itu yang sudah pun difatwakan sebagai tidak benar dan sia-sia pada 21 November 1984, ‘hilang’ dalam laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ketika Pas sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Yang paling anehnya Majlis Fatwa Kebangsaan telah membuat satu keputusan bahawa Amanat Haji Hadi itu tidak betul tetapi tidak semena-mena ia (Amanat Haji Hadi) dipadam dalam portal laman Jakim tanpa apa-apa penjelasan

“Jadi, kita tertanya-tanya apa keputusan yang telah dibuat sehingga dipadamkan? Mengapa hilang? Mestilah beri penjelasan,” tegasnya.

Semakan Harapan Daily menerusi fatwa Sumber Maklumat Al-ahkam al-Fiqhiyyah (E-SMAF) kelolaan Jakim mendapati tiada rekod mengenai fatwa berkaitan ‘Amanat Haji Hadi’.

“Tiada rekod untuk dipaparkan,” kata laman itu yang merakam fatwa dari seluruh negeri di Malaysia mengikut 14 kategori berserta rekod status sama ada diwartakan atau tidak.

Imbas kembali, Datuk Idris Ahmad ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat pada 19 Julai tahun lalu berkata, hanya Melaka memfatwakan Amanat Haji Hadi sebagai sesat dan tidak perlu diikuti oleh umat Islam negeri itu.

Dalam satu sidang media pada 17 September tahun lalu, Idris yang juga Naib Presiden Pas berkata, kerajaan pusat tidak boleh campur tangan dalam penetapan fatwa kerana hal yang berkaitan agama adalah di bawah senarai bidang kuasa negeri.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, tindakan ‘membuang’ fatwa berkaitan ceramah Hadi di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu itu sepatutnya melalui peringkat atau proses tertentu.

“Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mendapat persetujuan dan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu. Ini adalah proses membuat keputusan yang komprehensif.

“Jadi, kalau nak buang, maka perlulah melalui proses yang sama. Begitu mudahkah untuk buang dari laman web itu tanpa apa-apa penjelasan?” soalnya lagi.

Amanat Haji Hadi telah dimasukkan kerajaan dalam Kertas Putih Parlimen pada 1986 sebagai punca umat Islam di Malaysia berpecah apabila penyokong bukan Pas dicop sebagai kafir.

Baca juga ‘Beri PM Anwar masa sekurang-kurang 100 hari laksana tugas’