Hadi terus pertikai Agong, kutuk profesor dan perli warga emas
Melangkah ke tahun baharu 2023, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang masih tidak boleh ‘move on’ dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan penubuhan kerajaan Persekutuan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Marang itu terus mengulang kecamannya mengaitkan pembentukan Kerajaan Perpaduan sebagai ‘luar tabii’ sekaligus dapat dibaca sebagai mempertikai hasrat dan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam siri Minda Presiden terbaharu pagi ini, Abdul Hadi menegaskan bahawa kerajaan pasca PRU-15 yang dianggapnya songsang dari segi amalan demokrasi disokong bersama penipuan.
“Adapun penubuhan kerajaan pasca pilihan raya adalah di luar tabii demokrasi yang sebenar bersama penipuan yang nyata dengan mengumpulkan semua kumpulan penipu, penyangak dan oportunis,” katanya.
Dilihat ‘istiqamah’ menunggang sentimen golongan muda, Abdul Hadi turut mengecam golongan ahli akademik dan dalam masa sama menyindir pengundi warga emas yang tidak memilih Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15.
Dakwanya, pengundi muda menolak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum lalu, sebaliknya kedua-dua komponen utama Kerajaan Perpaduan itu bergantung pada undi bukan Islam dan warga tua termasuk berpenyakit.
“Sehinggakan, pencapaian kerusi mereka (PH) bergantung kepada undi bukan Islam, manakala BN pula bergantung kepada warga tua di saluran satu yang terlebih makan garamnya,” sinis Abdul Hadi.
Menerusi artikel panjang bertajuk ‘Jangan kecewakan anak muda’ yang diselang-selikan dengan petikan ayat dan terjemahan ayat al-Quran, Abdul Hadi menyifatkan PN dimenangkan oleh “gelombang kebangkitan anak muda Melayu Islam”.
“Pas secara khusus amat merasai kebenaran al-Quran, apabila anak muda yang dianggap mentah itu telah mencetuskan kemenangan kepada suara Islam, sehingga mereka menolak segala habuan kebendaan serta slogan kuat menipu kononnya menentang rasuah dan salah laku dengan propaganda yang hebat.
“Ketika itu, dipaparkan sokongan para profesor dan ilmuwan yang nyata berilmu tetapi kecil akalnya, semata-mata bagi menggoda anak muda.
“Selain itu, turut digunakan segala media sosial yang canggih tanpa sempadan dan banyak ditaburkan janji bohong yang lama tidak ditunaikan lagi dan janji yang baharu tidak tertunai,” tulisnya.
Tidak kurang mencolok mata apabila Abdul Hadi turut mendakwa kebangkitan semula umat Islam di seluruh dunia sedang dihalang walaupun Anwar Ibrahim telah menjadikan kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana sebagai medan bagi program ilmu melibatkan kehadiran ulama antarabangsa.
“Islam tetap dihalang di mana sahaja di seluruh dunia, walaupun telah memilih pendekatan demokrasi yang dikira sinonim dengan Islam.
“Namun, demokrasi ala Barat hakikatnya mengharamkan Islam berkuasa semula. Alasan di sini kerana Pas mendapat kerusi paling banyak, walaupun Pas sedia berta‘awun dengan semua kumpulan yang tidak ekstrem,” dakwanya.
Selanjutnya, bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu menyelitkan ayat 22 daripada Surah al-Ahzab dalam mengaitkan dengan gerakan memerangi Islam.
“Maka, terciptalah satu kumpulan Ahzab (barisan, parti dan kumpulan) yang berbeza ideologi dan niat yang tidak ikhlas, bersatu untuk menentang Islam yang pernah dihadapi oleh generasi awal dengan penuh keimanan,” tulis Abdul Hadi lagi.
Baca juga Langkah London vs Umno amal politik bersih