Tiada campur tangan kehakiman, tiada politik dendam, jamin PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pentadbirannya tidak mencampuri urusan kes yang dikendalikan oleh cabang kehakiman dan tidak mengamalkan budaya politik dendam.

“Jika orang takut kerana ada kes, sebaik disiasat mereka kata ini politik dendam. Saya beritahu SPRM kalau tiada (bukti) tutup kes. Kalau ada, langkah terus, siasat. Dia kata dendam. Kalau tidak mereka kata tiada tindakan.

“Jangan pedulikan tohmahan. Saya tahu golongan ini yang merancang Langkah London dan sebagainya,” kata Anwar di tengah panas isu usaha untuk menukar kepimpinan Umno.

Tindakan mahu menarik diri daripada menyokong Kerajaan Perpaduan  itu dilakukan sesetengah pimpinan dalam Umno yang terpinggir.

Difahamkan,usaha tersebut dilakukan melalui satu pertemuan yang dihadiri oleh seorang bekas perdana menteri yang berjalan di London.

Anwar bercakap dalam rancangan bicara khas Naratif Khas Bersama Perdana Menteri yang disiarkan di RTM 1 dan turut disiarkan di dalam laman Facebook.

Anwar dipercayai mengulas penarikan balik pertuduhan ke atas Tan Sri Shahril Samad dalam isu penerima wang RM1 juta dari bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Tambun itu turut menyatakan keyakinannya kepada badan kehakiman yang dilihat sebagai lebih neutral berbanding dengan waktu beliau sendiri dibicara dan dipenjarakan.

“Kita lihat dulu kehakiman dikompromi oleh eksekutif,” katanya yang juga menambah bahawa keputusan mahkamah dalam kes beliau sendiri telah dikritik oleh pihak luar.

Dalam masa sama, di bawah pentadbirannya, Anwar menegaskan bahawa beliau tidak akan campur tangan dalam urusan pelantikan hakim.

“Pelantikan hakim, saya tidak campur tangan. Apa yang JAC (Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman) syorkan, saya terima.

“Tidak patut saya campur tangan demi hakim yang memihak kepada saya,” tegas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu lagi.

Sebelum ini, Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu pernah mencadangkan agar perlantikan hakim hendaklah dibuat tanpa penglibatan Perdana Menteri.

Baca juga Anwar: Kerajaan perpaduan stabil dengan majoriti kuat