Kemelut politik Sabah akan ada pengakhiran

Ketika politik di Sabah hangat bergolak, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi gambaran bahawa segala yang bermula akan ada pengakhiran.

Semalam, Ahli Parlimen Kinabatangan itu bertemu dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Mengadakan perbincangan dengan YAB Timbalan Perdana Menteri, dan selaku Presiden Umno memaklum dan memberi penjelasan berkenaan isu pergolakan politik Sabah.

“Setiap yang bermula pasti akan ada pengakhiranya! Perjuangan baru bermula dan perjalanan mesih jauh dan panjang!!!,” tegasnya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Penyandang kerusi Parlimen Kinabatangan sejak tahun 2004 berkenaan juga berkongsikan gambar pertemuan itu.

Turut dilihat hadir dalam perbincangan itu ialah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah pada 6 Januari lalu mengumumkan keputusan untuk menarik sokongan daripada kerajaan Sabah ekoran hilang kepercayaan kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Tindakan BN Sabah itu ekoran keputusan Hajiji serta pengikutnya keluar Bersatu sekali gus melanggar perjanjian BN dan Perikatan Nasional (PN) membentuk Kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 tahun 2020.

Semalam pada sidang media, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Hajiji telah hilang kelayakan sebagai Ketua Menteri Sabah apabila keluar daripada Bersatu.

Beliau menegaskan bahawa Ketua Menteri hendaklah daripada ketua parti yang mendapat majoriti bilangan kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada 2020.

Sehubungan itu, beliau berkata, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin mempunyai kuasa untuk meleraikan kemelut politik di negeri itu.

Dalam hal berkaitan, Hajiji dilapor mengadakan pertemuan dengan Tun Juhar di Istana Seri Kinabalu pada jm 4.22 petang semalam.

Sementara itu, mengulas senario politik tidak menentu di Sabah, Datuk A Kadir Jasin berkata, negeri di bawah tali pinggang taufan Asia Timur tersebut sudah menukar Ketua Menteri sebanyak 16 kali sejak merdeka 59 tahun.

Jelas tokoh wartawan itu lagi, individu bergelar Ketua Menteri Sabah secara purata berada dalam jawatannya kurang empat tahun iaitu hanya dalam tempoh 44 bulan.

Baca juga ‘Langkah Kinabalu’ gulingkan Hajiji tidak menjadi