Negeri Pas hadapi kesukaran akibat sikap bermusuh pemimpin parti itu

Tohmahan bertali arus yang dilempar oleh kepimpinan PN, khususnya Pas kepada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan ahli politik mereka sendiri mengalami kesukaran.

Ketika banyak Menteri Besar seluruh negara telah melakukan kunjungan hormat kepada PM untuk membincangkan pembangunan di negeri masing masing, negeri ditadbir Pas seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu masih menyepi.

Hal itu dakwa pemimpin PKR Terengganu, Azan Ismail, berlaku kerana pemimpin Pas yang mentadbir negeri bersikap terlalu ekstrem menghentam Kerajaan Persekutuan.

Katanya, cara pemimpin Pas berkempen menyalahgunakan agama sebagai kaedah memesongkan minda rakyat telah merosakkan fungsi sebenar Pas mentadbir sesebuah negeri.

“Bagi negeri yang ditadbir oleh Pas ini, telah menunjukkan sikap yang teramat ekstrem yang belum pernah kita lihat sebelum ini.

“Dakwaan yang dibuat oleh pimpinan Pas agak keterlaluan, disaluti fitnah, dan saya rasa rakyat di ketiga-tiga negeri (Kelantan, Terengganu dan Kedah) perlu sedar bahawa mereka berada di bawah kepimpinan yang ekstrem sekarang,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Tambahnya, sebagai contoh fitnah yang dilakukan sendiri oleh Menteri Besar Kedah terhadap Perdana Menteri sehingga memaksa saman dikenakan ke atas beliau tentunya menyukarkan hubungan negeri itu dan Persekutuan.

Hal itu, kata Azan tiada kena mengena dengan dakwaan Presiden Pas bahawa Islam tidak dibenarkan di Malaysia sebagaimana tulisan terbaharu beliau.

Selain itu, Azan juga berasa hairan mengapakah terdapat segelintir pemimpin Pas yang mempersoalkan ketidakakraban pemimpin Kerajaan Persekutuan menyantuni mereka setelah apa yang Pas lakukan.

“Mereka telah menunjukkan sikap ekstrem tetapi dalam masa sama mengharapkan daripada Perdana Menteri untuk mengutamakan mereka, itu tidak masuk akal.

“Orang-orang yang bersikap ekstrem seperti itu tidak rasional. Bagaimana PM hendak berbincang dengan orang yang tidak rasional,” katanya lagi.

Baca juga Politik Kedah menjelang PRN 2023