Umno tetap menyokong Anwar biarpun kepimpinan berubah

 

Mantan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah memberi jaminan bahawa parti beliau akan tetap menyokong pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekalipun berlaku perubahan kepimpinan di dalam Umno.

Beliau berkata demikian di dalam sebuah forum anjuran ISEAS dan Institut Yusof Ishak di mana beliau menegaskan bahawa beliau mahukan kerajaan pimpinan Anwar stabil dan kekal.

Khairy yang pernah bertanding untuk kerusi presiden dalam pertandingan tiga penjuru membabitkan penyandang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau tidak percaya kepada kaedah belakang tabir untuk membawa perubahan kepada pentadbiran sedia ada.

Forum tersebut turut dihadiri setiausaha DAP kebangsaan merangkap Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

“Ada pihak bimbang bahawa sekiranya berlaku sebarang perubahan dalam kepimpinan Umno, ia akan menyebabkan ketidakstabilan politik dan yang akan membawa kepada kejatuhan kerajaan. Satu lagi Langkah Sheraton, sebuah kerajaan baru dan perdana menteri baru akan mengangkat sumpah.

“Loke, saya ingin menyatakan di sini di hadapan semua orang di sini bahawa sekiranya saya atau rakan-rakan saya menang dalam pemilihan parti, kami komited dalam menyokong kerajaan perpaduan, (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anda,” kata beliau.

Umum mengetahui bahawa hubungan Khairy dan Ahmad Zahid agak dingin. Semasa kempen pilihanraya umum ke-15 yang lalu, banyak kenyataan Khairy memberikan tanda – tanda bahawa Khairy dan Ahmad Zahid tidak sebulu.

Baru – baru ini, Langkah London dikatakan telah dirancang untuk menewaskan Ahmad Zahid di dalam sesi pemilihan pimpinan parti yang akan diadakan dalam tahun ini. Dalam pada itu, sidang perhimpunan agung Umno akan bermula esok di Pusat Dagangan Dunia.

Khairy diura-urakan menyertai pasukan yang diketuai oleh mantan naib presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang akan menentang Datuk Seri Ahmad Zahid manakala Khairy sendiri akan menentang mantan ketuanya di Rembau yang kini menjawat jawatan timbalan presiden – Mohamad Hasan. Mohamad Hasan juga merupakan Menteri Pertahanan.

Ahmad Zahid pula menjawat kedudukan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di dalam kabinet pimpinan Anwar.

Sementara itu Ahmad Zahid mengalukan pertandingan untuk jawatan yang disandangnya. Beliau yakin akan dapat mempertahankan jawatannya kerana berjaya dalam sesi pemilihan lalu yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

 

BACA LAGI: Hishamuddin sebahagian daripada Langkah London?