Hishamuddin sebahagian daripada Langkah London?

Sejak usaha Langkah London dilaporkan tempoh hari, pergolakan dalaman Umno semakin ketara sekarang. Meskipun tidak dinamakan naib presiden yang berada di London, para pembaca pasti mengenali mantan perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan mantan menteri Datuk Mahdzir Khalid.

Sementara itu Ismail turut mendapat sokongan mantan ahli parlimen Ketereh yang dipecat dari Umno – Tan Sri Annuar Musa yang kini menerajui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) – Muafakat Nasional. Besar kemungkinan Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga mengetuai satu lagi NGO, Perpaduan Ummah turut terlibat dalam usaha ini.

Meskipun kedua-dua tokoh di atas di luar Umno, pengaruh mereka di dalam parti Melayu ulung tersebut belum pudar.

Menurut sumber, Ismail sanggup mengetengahkan calon lain untuk kerusi presiden Umno.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, senarai anggota pasukan Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang akan bertanding di dalam sesi pemilihan Umno kali ini sudah tular.

Pasukan Hishamuddin

Selain Khairy yang akan berdepan dengan Ahli Parlimen Rembau Datuk Seri Mohamad Hassan untuk kerusi timbalan presiden Umno, tiga calon naib – naib presiden Umno ialah mantan ahli parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Adham Baba ialah Ahli Parlimen Tenggara manakala Jalaluddin ialah Ahli Parlimen Jelebu.

Calon ketua pemuda pula ialah Shahril Sufian Hamdan manakala calon ketua puteri pula ialah Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Shahril sememangnya dikenali sebagai orang kanan Khairy. Sekarang beliau merupakan naib ketua pemuda Umno. Mereka berdua merupakan individu di sebalik penubuhan badan pemikir, The Centre yang mengutarakan kajian – kajian ilmiah sebagai penyelesaian masalah umum.

Khaidirah yang lebih dikenali sebagai Dira ialah ketua puteri Umno Jasin, Adun Rim dan Timbalan Speaker di Melaka.

Semasa sesi pemilihan dalam tahun 2018, Hishamuddin tidak mempertahankan jawatan naib presiden. Khairy pula tersungkur dalam pertandingan tiga penjuru membabitkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan mantan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Adakah barisan yang dinamakan di atas sebahagian daripada Langkah London yang diwar-warkan? Akan kita ketahui dalam hari – hari akan datang.

Johor Menentang?

Usaha Hishamuddin untuk menjadi presiden Umno setakat ini tidak mendapat sokongan dari negerinya sendiri. Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata seperti berikut:

“Kita nak harapkan orang pengecut yang paling awal lari lintang pukang selepas Umno kalah pada PRU14 dulu? Atau kita nak serahkan nasib parti kepada orang yang sibuk jadi broker yang selama ini nak jual maruah Umno kepada parti lawan?”

Dalam perkembangan berkaitan, setiausaha agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan bahawa sesi perhimpunan agung Umno kali ini hanya akan membincangkan satu usul iaitu ucapan dasar presiden dan bukannya perkara berkaitan permasalahan rakyat memandangkan menteri – menteri berkaitan bukan daripada Umno.

Perhimpunan juga akan berlangsung selama dua hari.

Baca Juga: Langkah London melalui Umno untuk jatuhkan kerajaan