Selepas seminggu bergolak, angkat sumpah jemaah Menteri Sabah hari ini

Selepas lebih seminggu berlakunya pergolakan politik, majlis angkat sumpah ahli Jemaah Menteri Sabah dijadualkan berlangsung di Istana Negeri hari ini.

Majlis itu difahamkan akan berlangsung di Dewan Kunjungan, Istana Seri Kinabalu pada jam 10 pagi ini.

Susulan itu, dijangka beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memegang jawatan menteri sebelum ini akan digugurkan.

Antara nama yang disebut bakal digugurkan daripada Kabinet iaitu Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Turut dijangka mengikut jejak sama ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan, serta Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya Datuk Jafry Ariffin.

Sejak minggu lalu, heboh diperkatakan mengenai ‘rampasan kuasa’ yang juga dipanggil ‘Langkah Kinabalu’ untuk menggulingkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Cubaan menukar Hajiji itu dilihat ada kaitan dengan gerakan daripada pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN).

Pada 8 Januari lalu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberitahu pemberita bahawa pihaknya mempunyai sokongan majoriti membabitkan seramai 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Jumlah itu, jelasnya, merangkumi 29 ADUN GRS, Pakatan Harapan (PH) Sabah dengan tujuh kerusi, Umno (5) serta masing-masing seorang ADUN Dilantik mewakili Pas, ADUN Bebas dan ADUN Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).

Justeru, kata Hajiji, kerajaan negeri dipimpinnya masih utuh serta kuat dan akan terus mentadbir Negeri di Bawah Bayu itu.

Malah, katanya, beliau sudah menghantar akuan bersumpah (SD) kesemua 44 ADUN menyokongnya pada perjumpaan dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, 7 Januari lalu.

Walau bagaimanapun, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony mempertikai keabsahan Hajiji untuk terus memimpin negeri.

Mereka menegaskan bahawa Hajiji sudah hilang sokongan majoriti selepas Umno dan BN Sabah memutuskan untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Susulan itu, mereka memohon Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk melaksanakan fungsi selaku Ketua Negeri.

Ketiga-tiga pemimpin terbabit memohon semakan semula pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri mengikut Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah yang dibaca bersama Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah.

Malam kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan pemimpin politik Sabah di Magellan Sutera, Kota Kinabalu.

Beliau mengadakan pertemuan tertutup kira-kira sejam bersama Bung Moktar Radin dan Shafie Apdal.

Selepas perjumpaan itu, Anwar beredar ke kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya untuk bertemu Hajiji dan pemimpin lain termasuk daripada GRS.

Bercakap kepada media selepas mengadakan perjumpaan itu, Anwar dilapor berkata, keputusan berhubung pergolakan politik di Sabah berada dalam tangan pemimpin Sabah sendiri.

Sehubungan itu, Pengerusi PH tersebut berkata, beliau hanya mampu memberi nasihat dalam usaha mengatasi isu tersebut.

Semalam, Shafei Apdal berkata, semua Adun Warisan bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri agar Kerajaan Perpaduan dibentuk di Sabah.

Cadangan itu juga disokong BN dengan Bung Moktar menyifatkan cadangan itu mampu meredakan politik di negeri itu.

Bung juga berharap agar Hajiji dapat menerima dengan hati yang terbuka saranan Kerajaan Perpaduan itu demi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

Baca juga Warisan, BN sokong bentuk kerajaan perpaduan di Sabah