Anak pernah patah kaki akibat tiada pemegang tangga

EKSKLUSIF Siri 2 Bukan sahaja kemudahan lif bermasalah, penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 di Petaling Jaya, Selangor juga berdepan ancaman keselamatan.

Seorang penduduk, Hazrain Aman, 50, menceritakan bagaimana anaknya pernah patah kaki akibat tergelincir daripada tangga yang tiada pemegang.

Katanya, anaknya itu terpaksa menggunakan tangga untuk urusan seharian berikutan masalah lif yang tidak berfungsi di kawasan kediamannya.

                                                                                  Hazrain Aman

“Pernah berlaku, anak saya sendiri jatuh dan patah kaki sebab tergelincir di tangga yang tiada pemegang itu.

“Penduduk terpaksa menggunakan tangga untuk turun dan naik. Dengan keadaan tangga yang tidak ada pemegang, ianya memang sangat bahaya kepada penduduk di sini.

“Masalah ketiadaan pemegang tangga ini bukannya baru jadi setahun dua. Saya rasa sudah lebih lima tahun keadaan tangga seperti itu. Tak ada pemegang langsung.

Sudahlah lif rosak, tangga pula berbahaya tanpa pemegang.

“Kalau ada pun, saya ingat dalam 20 peratus sahaja tangga ini ada pemegang. Tapi pemegang itu dengan dah goyang, berkarat dan nak patah, lagi bahaya saya rasa kalau nak pegang,” katanya ketika ditemui Harapan Daily, di PPR Lembah Subang 1, baru-baru ini.

Susulan masalah yang dihadapi, Hazrain yang mewakili penduduk Blok D pangsapuri itu amat berharap pihak berwajib datang meninjau keadaan mereka di flat tersebut.

“Antaranya, pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Tolong ambil tindakan demi kemudahan penduduk yang tinggal di sini. Kami bayar sewa bukannya duduk secara percuma.

Lantai flat yang basah dan licin berlumut juga membahayakan penduduk.

“Kami harap sangat pihak berwajib tolonglah datang tengok kami di sini. Kalau nak cerita masalah di sini, saya rasa dua hari pun tak akan selesai bila bercerita.

“Tengok bukan sekadar tengok, sebab sebelum ini saya tak nafikan ada pihak yang datang untuk membuat pemeriksaan, tapi sudahnya lepas buat pemeriksaan, mereka hilang,” katanya yang berharap kejadian sama tidak akan berulang lagi selepas ini.

Dalam Siri 1 sebelum ini, Harapan Daily melaporkan masalah kerosakan lif yang berlarutan dihadapi penduduk di PPR Lembah Subang 1 yang masih belum menemui noktah penyelesaian.

Penduduk Blok H, Mazlan Md Yunos memberitahu, mereka terpaksa berdepan dengan masalah lif rosak setiap hari sekali gus menyukarkan aktiviti seharian.

Penutup longkang yang tidak sempurna menambahkan lagi risiko keselamatan kepada penghuni.

Menurut Mazlan apabila lif rosak, pihak pengendali lif hanya memberi alasan tiada alat ganti.

“Walaupun diperuntukkan tiga lif satu blok, hanya satu atau dua lif sahaja berfungsi di kebanyakan blok.

“Bila kita tanya di peringkat pengurusan dan juga pengendali, mereka memberi pelbagai alasan,” katanya yang telah menetap di situ selama 23 tahun.

Baca juga Beratus unit rumah tapi satu, dua lif saja boleh guna