Hudud: Masa dalam kerajaan Pas senyap kini mahu teruskan agenda

Sewaktu menyertai Kerajaan Persekutuan selama 33 bulan agenda pelaksanaan undang undang hudud yang diperjuangkan Pas sejak 3 dekad lalu tidak disentuh, namun kini selepas menjadi pembangkang parti itu dikatakan mahu mendesak Kerajaan Perpaduan melaksanakan agenda berkenaan.

Hal itu diungkapkan oleh Pengarah Penerangan Pemuda Pas, Nazrul Nazir dalam Wacana Sinar yang kelmarin. Beliau mendakwa usia pemerintahan 33 bulan Pas tidak cukup untuk melaksanakan pindaan Rang Undang-Undang 355 bagi memperkukuh enakmen jenayah negeri yang sebelum Pilihan Raya Umum 2018 lalu heboh diperkatakan.

Beliau juga memaklumkan Pas tidak pernah meninggalkan agenda hudud dan RUU 355 yang dipejuangkan sejak dahulu, sebaliknya pandemik Covid-19 antara punca mengapa parti itu mengkesampingkan sementara isu berkenaan ketika di dalam kerajaan.

“Pendirian mengenai hudud ini masih sama sejak mula Pas ditubuhkan pada 1951 hingga tahun 2023 ini.

“Disebabkan ketegasan Pas berkenaan undang-undang enakmen jenayah syariah di Kelantan, maka terpecahlah Pakatan Rakyat disebabkan DAP menentang perkara tersebut,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan dasar berkaitan agama Islam yang dibuat pentadbiran sebelum ini akan dipertahan serta diteruskan.

Ini termasuklah meneruskan agenda pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 sebagaimana dirangka sebelum ini.

Bagaimanapun Nazrul menyalahkan Pakatan Harapan yang tidak melakukan apa-apa semasa 22 bulan mereka berkuasa di Putrajaya.

Kata beliau selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih pentadbiran Kerajaan BN – PN, Datuk Idris Ahmad dilantik sebagai Menteri Agama dan RUU tersebut diteruskan namun tidak sempat dibentang kerana parlimen dibubarkan pada September tahun lalu.

Di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan, Nazrul berharap pindaan RUU 355 akan menjadi agenda Islaminisasi negara tanpa mengira parti mana yang terlibat.

“Harap Pakatan Harapan menganggap ini sebagai satu agenda Islamimasi dan mereka boleh teruskan tanpa mengira parti,” katanya lagi.

Agenda meminda RUU 355 bagi memperkukuh undang undang syariah dalam Perlembagaan telah diusahakan oleh Pas dengan bantuan kerajaan BN pada tempoh 2016 – 2018.

Bagaimanapun pindaan itu tidak berjaya dilakukan kerana Pilihan Raya Umum 2018 menyaksikan Kerajaan BN tumbang dan digantikan kerajaan PH.

Bagaimanapun pada 2020, Pas membentuk kerajaan secara ‘pintu belakang’ bersama BN dan Bersatu. Cuma Hudud tidak sama sekali ditimbulkan oleh parti itu selama 33 bulan mereka berada dalam Kerajaan Persekutuan.

BACA LAGI Islamofobia datang daripada Pas bukan Kerajaan Perpaduan