Menjadikan Malaysia Hebat Semula tugas utama kita

Kerajaan Perpaduan ditubuhkan hasil dari titah nasihat Yang Dipertuan Agong dan dipersetujui oleh Majlis Raja-raja Melayu.

Pada awalnya, titah nasihat ini diberikan kepada dua pemenang utama pilihan raya umum ke 15 lalu iaitu Pakatan Harapan (PH) dan juga Perikatan Nasional (PN).

Namun, PN telah menolak titah nasihat ini kerana mereka merasakan mereka yang lebih layak untuk meminpin. Baginda kemudian menjemput pemimpin Umno dan membuat titah nasihat yang sama. Umno menyambut baik titah nasihat walaupun kedua-duanya, PH dan Umno serta BN, adalah musuh ketat ketika mereka menyertai PRU-15.

Selepas Umno menyambut titah nasihat ini, berlakulah kesepakatan politik asas dalam pembentukan kerajaan ini apabila gabungan kedua-duanya berjaya membentuk majoriti mudah dalam Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan. PH mempunyai 82 kerusi manakala BN 30 kerusi menjadikan mereka mendapat majoriti mudah iaitu 112 dari 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Ekoran itu, parti-parti dari Sabah dan Sarawak turut menyertai Kerajaan Perpaduan ini termasuk GPS (22), GRS (6), Warisan (3) dan sebagainya sehingga Kerajaan Perpaduan berjaya mengumpulkan 148 penyokong dari 222 anggota Dewan Rakyat, iaitu dua pertiga daripada ahli Parlimen Malaysia.

Kerjasama antara PH, BN dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak secara jelas menggabungkan semua kaum dan agama serta rantau di dalam satu kerajaan menjadikan ia satu justifikasi ini adalah sebuah kerajaan yang dibentuk hasil perpaduan pelbagai pihak. Maka selayaknya ia dinamakan Kerajaan Perpaduan.

Ini kerana, di dalamnya mengandungi parti yang mendapat sokongan orang Melayu, Cina dan juga India serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Ini bermakna, kerajaan ini juga mewakili seluruh segmen rakyat di negara ini tanpa mengira kaum, agama, daerah dan juga fahaman politik.

Bayangkan PN yang membentuk kerajaan bukannya PH. Di mana kaum Cina dan India yang memberikan sokongan kepada PH khasnya DAP ketika itu? Sudah tentu mereka terpinggir walaupun di sokong oleh part-parti dari Sabah dan Sarawak.

Inilah imej Kerajaan Perpaduan. Walaupun didakwa oleh musuhnya ini bukan Kerajaan Perpaduan tetapi inilah realitinya kerajaan ini, hasil perpaduan pelbagai parti politik yang berbeza pandangan dan pendekatan sebelum ini tetapi kini duduk bersama untuk rakyat.

Pihak yang tidak mahu menyertainya, biarkanlah mereka. Oleh kerana mereka tidak menyertainya maka dikatakan ini bukan Kerajaan Perpaduan, itu tidak betul kerana tidak ada satu difinasi khusus tentang Kerajaan Perpaduan.

PM ANWAR kini memimpin Malaysia untuk menjadi Tiger of Asia kembali.

MENUJU KE DEPAN

Setelah tertubuh, kini Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memikul tanggungjawab besar untuk negara dan rakyat.

Sebagaimana dinyatakan oleh PM Anwar sendiri dalam kempen menjelang PRU-15, negara kita pernah hebat sebelum ini.

Tetapi, oleh kerana beberapa masalah dan kelemahan yang berlaku sebelum ini, negara kita telah tertinggal jauh dari negara yang sepatutnya berada di belakang kita.

Dahulu ekonomi dan sukan kita setaraf sahaja dengan Korea Selatan. Namun kini Korea Selatan terlalu jauh ke depan samada ekonomi ataupun sukan sekalipun.

Vietnam dahulu terlalu jauh di belakang kita tetapi kini Vietnam sudah memotong kita dari segi pembangunan dan ekonomi. Begitu juga Indonesia.

Ketika Anwar menjadi TPM yang juga Menteri Kewangan, Malaysia pernah digelar sebagai Tiger Asia. Anwar sendiri pernah dinobatkan sebagai Menteri Kewangan terbaik Asia.

Penulis Indonesia telah memberikan gelaran Anwar sebagai Tiger of Malay selepas memberikan ucapan dan menyambut soalan dalam Leadership Forum di Jakarta.

Kini Anwar menjadi PM negara ini. Ketika lawatan pertama beliau ke luar negara iaitu Indonesia (9 dan 10 Januari 2023), seorang penulis Indonesia memberikan gelaran “Tiger of Malay” atau Harimau Melayu kepada Anwar.

Kini tiba masanya untuk negara ini menjadi hebat semula. Gelaran Tiger of Asia perlu diraih semula. Ia diyakini boleh dilakukan kerana kita dipimpin oleh Tiger of Malay.

NEGARA RAHMAH

Kita yakin dengan pimpinan Anwar, negara ini boleh menjadi Tiger of Asia semula tetapi apakah kita mahu negara kita sahaja yang kaya tetapi rakyatnya papa kedana.

Sudah tentu itu bukan cita-cita perjuangan rakyat negara ini. Kita mahu rakyat terbanyak yang mendapat manafaat paling utama dalam menikmati kekayaan ini.

Kaya dan senang sahaja tidak cukup. Tetapi nilai kemanusiaan yang ada pada rakyat negara ini perlu dipertingkatkan. Karamah insaniyah ini perlu dimiliki oleh semua tanpa mengira dari kaum, agama, daerah mana mereka tinggal atau berapa pendapatan mereka.

Semuanya perlu dipertingkatkan oleh kerajaan untuk rakyat negara ini. Jika kita berjaya melaksanakan semua ini, tidak ada pihak lagi dapat menghalang gelombang kebangkitan Malaysia.

 

BACA JUGA Anwar: Kerajaan perpaduan stabil dengan majoriti kuat

JUGA Mohamad Sabu habiskan cuti hujung minggu lawat ladang telur di India

#AnwarIbrahim #Indonesia