Pinda perlembagaan parti: Umno perkuat kedudukan dalam kerajaan

ANALISA: Umno memperkuat kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan dengan meluluskan dua pindaan perlembagaan hari ini yang berupaya menjauhkan ahli dan pimpinan parti itu daripada terus menerus berhubung dengan gabungan politik di luar kerajaan pusat.

Perhimpunan Agung Khas Umno telah meluluskan dua pindaan membabitkan ahli yang menang bertanding tetapi meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon Bebas atau parti lawan maka akan gugur keahlian secara automatik.

Pindaan perlembagaan itu turut menyangkut ahli yang menyertai pakatan lain yang Umno tiada di dalamnya digugurkan keahlian.

Dua pindaan berkenaan yang selaras dengan undang undang akti lompat parti akan menyebabkan pemimpin atau ahli tidak lagi banyak pilihan, terutama jika sekiranya mahu menjalinkan hubungan bersama parti komponen PN.

Sebelum ini, tindak tanduk Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi sentiasa dipersoalkan oleh beberapa pimpinan kanan dan para penyokong mereka yang pro PN.

Juga terdapat usaha untuk mengadakan kerjasama belakang tabir bersama pemimpin PN, biar pun 10 nama yang dikaitkan menandatangani surat Akuan Berkanun bersetuju menyokong Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai Perdana Menteri usai Pilihan Raya Umum 15 lalu telah menarik balik Akuan Berkanun mereka.

Pindaan perlembagaan itu juga memudahkan usaha untuk menerangkan kepada ahli akar umbi Unmo yang masih kurang faham kerjasama dengan PH. Penerangan akan lebih lancar kerana ahli tiada pilihan lain selain bersetuju dengan keputusan majoriti pemimpin dalam Majlis Kerja Tertinggi Umno dalam mencorakkan hala tuju parti.

Untuk itu, Zahid dalam ucapan amanat presiden pada pagi tadi memberi alasan kukuh mengapakah Kerajaan Perpaduan perlu disertai Umno-BN, dan bukannya menyertai PN sebagaimana diharapkan oleh sebahagian penyokong parti itu.

Dalam ucaptama itu, Zahid menyarankan ahli Umno melihat Fasal 9.1 Perlembagaan Umno yang memberi kuasa kepada MKT untuk menjalankan kerja pentadbiran parti di bawah perhimpunan agung.

Bagi beliau pihak yang menentang keputusan MKT dan membangkitkan isu ketetapan Perhimpunan Agung Umno lalu iaitu ‘No Anwar’, ‘No DAP’ adalah kelompok yang mahu menjalinkan kerjasama dengan PN yang dalam kerajaan lalu kurang jujur dalam bekerjasama.

“Kelompok yang bersuara ini tidak pula menyebut PAU juga (pernah) membuat keputusan dan ketetapan ‘No Bersatu’,” katanya.

Beliau menegaskan kerjasama dengan PH hanya dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan titah selepas sebelum itu PN enggan membentuk kerajaan bersama PH.

Perhimpunan agung kali ini melibatkan 2,648 perwakilan dan 174 pemerhati, iaitu ketua penerangan bahagian, menjadikan jumlahnya 2,822 orang.

BACA LAGI Bukan Najib Hang Tuah, tetapi Rosmah yang ber’tuah’