Kerajaan lindungi pekebun kecil, pantau kejatuhan harga getah

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) amat prihatin mengenai isu kejatuhan harga getah dan kesannya kepada pekebun kecil getah dan penoreh di seluruh negara, terutama berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 500,000 pekebun kecil getah di seluruh negara terus dibebani dengan kemiskinan ekoran kejatuhan harga komoditi berkenaan.

Sehubungan itu, kementerian telah meneliti perkara tersebut dan mendapati terdapat beberapa faktor yang menyebabkan harga getah yang rendah.

“Antaranya berkenaan prospek ekonomi global yang lembap, peningkatan bekalan getah asli, penurunan harga minyak mentah yang menyebabkan lebih mudah menghasilkan getah sintetik.

“Pada masa sama, kebimbangan mengenai hubungan perdagangan Amerika Syarikat-China dan ketidaktentuan daripada konflik Rusia – Ukraine juga dilihat antara faktor geopolitik yang turut menyebabkan penurunan harga getah.

“Bahkan, faktor pasaran serantau dan ekonomi memberi pengaruh besar ke atas pergerakan harga getah di pasaran, memandangkan Malaysia kini hanya mengeluarkan empat peratus daripada keseluruhan pengeluaran getah negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, bagi memastikan nasib pekebun kecil terus dilindungi, kementerian berkata kerajaan telah melaksanakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sejak 2015 bertujuan mengurangkan beban ekonomi pekebun kecil ketika harga getah rendah di pasaran, di samping menggalakkan aktiviti penorehan.

Melalui pelaksanaan IPG, kata kenyataan itu, pekebun kecil akan menerima harga getah peringkat ladang (50 peratus kandungan getah kering) sekurang-kurangnya pada harga RM2.50 sekilogram.

Sejak IPG dilaksanakan pada September 2015 sehingga Disember 2022, RM446 juta telah diagihkan kepada 202,533 pekebun kecil di seluruh negara.

Selain itu, peserta pekebun kecil yang menyertai program itu juga menerima insentif tunai sebanyak RM1.00 sekilogram bagi 100 peratus kandungan getah kering (KGK).

“Peserta menerima bantuan di dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850 bagi setiap hektar secara ‘one-off’ (sekali beri).

“Pelaksanaan tender secara atas talian (MyRol) pula adalah salah satu kaedah pemasaran getah melalui kaedah tender secara atas talian.

“Melalui MyRol, kecekapan rantaian nilai getah peringkat ladang dapat ditingkatkan seperti urusan urusniaga yang telus, tanpa sempadan dan kewujudan pesaing melalui penglibatan lebih ramai pembeli, yang mana pekebun kecil akan menikmati harga yang lebih kompetitif,” kata kenyataan itu.

KPK melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) sebelum ini telah memperkenalkan Permit Autoriti Transaksi-Getah atau PAT-G sebagai pengenalan kepada pekebun kecil

Tambahan penggunaan RRIMniaga pula adalah satu lagi inovasi LGM yang merupakan aplikasi telefon pintar yang dapat memastikan agihan bantuan kepada pekebun kecil dapat dilakukan dengan cekap.

KPK berkata, kerajaan akan terus komited untuk membantu pekebun kecil dengan memastikan program serta aktiviti yang lebih tuntas dilaksanakan agar dapat meringankan beban pekebun kecil khususnya semasa kejatuhan harga getah.

BACA JUGA BN belum bincang PRN, dedah MIC