BN belum bincang PRN, dedah MIC

Perbincangan dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional berkaitan dengan pilihan raya negeri (PRN) belum lagi diadakan. Justeru itu tidak timbul persoalan mengenai interaksi di antara parti komponen BN dengan Pakatan Harapan.

“Buat masa ini komunikasi secara langsung hanya berlaku di antara pengerusi BN iaitu Datuk Seri Ahmad Zahidi dan pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tidak ada hubungan langsung melibatkan parti komponen BN dan PH,” kata setiausaha agung MIC, RT Rajasekaran kepada Harapan Daily.

“Kita belum pun mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perkara ini di peringkat BN. Kita perlu berbincang sesama anggota BN sebelum melibatkan Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persediaan partinya untuk menghadapi PRN yang akan berlangsung tahun ini.

Beliau turut mendedahkan bahawa kali terakhir BN mengadakan perbincangan adalah sejurus selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) iaitu pada 23 Nov 2022. PRU15 berlangsung pada pada 19 Nov 2022.

Persoalan tersebut ditimbulkan ekoran daripada perubahan jajaran politik pasca pilihan raya umum ke-15 yang menyaksikan BN menyertai blok kerajaan bersama Pakatan Harapan. Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah turut sama dalam blok kerajaan.

Hanya seorang calon MIC berjaya mempertahankan kerusinya iaitu timbalan presiden Datuk M Saravanan manakala calon parlimen lain termasuk presiden Datuk SA Vigneswaran kecundang.

Tambahan pula sebelum PRU 15, kerusi yang ditandingi oleh MIC akan ditandingi oleh PKR dan DAP dari PH. Dalam konteks PRN, contohnya ia melibatkan kerusi Bukit Selambau di Kedah; Perai dan Bagan Dalam di Pulau Pinang.

Bukit Selambau diwakili oleh PKR manakala kedua-dua kerusi DUN di Pulau Pinang diwakili oleh DAP.

Baru – baru ini pengerusi Pakatan Harapan Kedah Datuk Mahfuz Omar mendedahkan bahawa BN dan PH di peringkat negeri sudah memulakan perbincangan berkaitan PRN. BN diwakili oleh Datuk Jamil Khir Baharom.

Usahasama tidak rasmi pertama MIC dengan PH secara tidak rasmi ialah pilihan raya kecil Padang Serai di mana calon C Sivarraajjh memberi laluan kepada calon PKR, Dr Soffee Razak.

Keputusan di dalam PRK tersebut bagaimanapun tidak memihak kepada PH.

BACA JUGA: Dilema MCA, MIC dalam PRN Pulau Pinang

Kerjasama PH-BN di enam negeri hampir pasti