Pemukiman Jemaah Menteri: PM mahu reformasi pentadbiran, tadbir urus

Pemukiman Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan yang diadakan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya hari ini mencapai beberapa solusi untuk memperbaiki kualiti pentadbiran khususnya penyampaian kerajaan.

Menurut kenyataan Unit Korporat dan Antarabangsa Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), pemukinan yang dihadiri 27 Anggota Jemaah Menteri dan 10 Pegawai Kanan Kerajaan itu telah diberi taklimat secukupnya bagi memperkukuh dan memantapkan kesepakatan dan kesepaduan dalam kalangan Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan.

“Selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri dalam menterjemahkan agenda islah dan reformasi dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan, program permukiman ini diisi sesi taklimat khas mencakupi aspek-aspek penting ke arah pemantapan penyampaian perkhidmatan dan pengukuhan tata kelola atau tadbir urus jentera Kerajaan.

PM serius mendengar prestasi para Menteri

“Aspek-aspek ini merangkumi Struktur Kerajaan dan Hal Ehwal Pentadbiran Awam, Pengurusan Kewangan dan Perolehan Kerajaan, Persidangan Antarabangsa dan Kepentingan Negara, Protokol Kerajaan dan Profesionalisme, Pembangunan Lestari, Senario Ekonomi dan Cabaran, serta taklimat berkaitan Komunikasi Media,” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu juga menyebut, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Datuk Seri Mohd Zuki Ali turut menyampaikan taklimat berkenaan Pelaksanaan KPI Anggota Jemaah Menteri.

BACA JUGA Fokus terhadap tugas, bukan Dr Mahathir, kata Anwar