Fajar baru menyinsing, lif PPR Lembah Subang bakal dibaikpulih

EKSKLUSIF Siri 3 Masalah lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 umpama tiada penghujung apabila penduduk sering mengeluh mengenai isu yang membebankan mereka itu. Harapan Daily sudahpun melaporkan keluhan penduduk yang saban hari berdepan dengan perkara ini yang tidak berkesudahan dan sekaligus mengganggu urusan harian mereka.

Baru-baru ini, Harapan Daily menemu bual Pengurus Bangunan PPR Lembah Subang 1, Muhamad Asrul Ismail bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai masalah di kediaman tersebut.

Menurut Muhamad Asrul, kerja bagi menguruskan pembaikan lif di kawasan flat terbabit telah ditenderkan dan ketika ini ia berada di peringkat rundingan.

Katanya, yang terbaharu pihak Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) ada mengeluarkan sebut harga bagi kerja-kerja penggantian 14 lif bermasalah, namun pemberian tender berkenaan bergantung kepada keputusan KPKT itu sendiri.

“Mengenai isu lif, ia sudah ditenderkan atau ditender semula. Kemungkinan dalam bulan Mac nanti, insyaAllah mereka akan membaiki lif-lif yang rosak di sini (PPR Lembah Subang 1).

“Tempoh tender itu (diumumkan) saya tak pasti bila. Tapi biasanya pihak kementerian akan buat. Dalam tempoh dua bulan, kementerian akan umumkan mengenai tender itu sebab ianya sah dalam 90 hari.

“Tender telah dibuka pada bulan Disember hari itu, lebih kurang bulan Mac nanti siapa yang terpilih, mereka akan melakukan kerja pembaikan lif,” katanya kepada Harapan Daily.

Ditanya apakah punca lif-lif di flat itu rosak, beliau berkata, antara sebab dikenal pasti adalah masalah vandalisme di kawasan tersebut.

MUHAMAD ASRUL ISMAIL Pengurus PPR Lembah Subang 1

“Biasanya apa yang dimaklumkan daripada pihak pengendali lif, salah satunya adalah vandalisme.

“Kedua, segelintir penduduk turut membawa masuk motosikal mereka ke dalam lif dan naik ke atas. Walaupun sudah ditegur pengawal keselamatan, mereka cuma ambil maklum macam itu sahaja,” katanya lagi.

Tambah Muhamad Asrul lagi, sebarang masalah di flat ini, beliau selaku wakil pengurusan akan cuba sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah dihadapi penduduk.

Beliau berkata, pihaknya tetap menerima apa sahaja aduan daripada penduduk, bagaimanapun masalah diadukan itu tidak boleh dijanjikan untuk diselesaikan dalam masa terdekat.

“Ini kerana, kami perlu merujuk kepada pihak Jabatan Perumahan Negara terlebih dahulu, dan mungkin mereka juga mempunyai jawatankuasa tersendiri untuk menyelesaikan masalah.

“Macam masalah yang perlu mengambil masa untuk diselesaikan seperti isu lif, seperti anda tahu, harga alat gantinya pun dah tinggi. Jadi ianya perlu mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kewangan terlebih dahulu,” ujarnya lagi.

“Macam masalah yang perlu mengambil masa untuk diselesaikan seperti isu lif, seperti anda tahu, harga alat gantinya pun dah tinggi.

“Jadi ianya perlu mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kewangan terlebih dahulu,” ujarnya yang turut memaklumkan bahawa pihaknya mula mendapat Surat Setuju Terima (SST) menguruskan flat berkenaan pada 1 September tahun lalu.

 

BACA JUGA:

Beratus unit rumah tapi satu, dua lif saja boleh guna

Anak pernah patah kaki akibat tiada pemegang tangga