Jangan ada tekanan, senyumlah macam pramugari

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu menasihatkan kepada dirinya serta pegawai dan kakitangan di kementerian itu supaya mengurus tekanan sepanjang berkerja.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu secara berseloroh mengaitkan perwatakan pramugari yang sentiasa mengukir senyuman sekali gus meredakan tekanan.

“Saya, timbalan dan pegawai-pegawai walaupun ada tekanan apa pun kita mesti sentiasa senyum dengan orang ramai.

“Jangan ada tekanan. Saya pun nasihat, kadang-kadang saya pun ada tekanan juga.

“Senyum macam pramugari. Dia senyum pada semua orang, cintanya tidak tahu kepada siapa,” selorohnya disambut ketawa pegawai dan kakitangan MAFS.

Mohamad berkata demikian semasa berucap sempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 di Wisma Tani, Putrajaya pagi tadi.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Kota Raja berkenaan berharap warga MAFS terus komited bersama-sama beliau dalam memastikan ketangkasan dan daya tahan rantaian bekalan bagi sektor agromakanan untuk terus kekal dan berdaya saing.

“Justeru, kita mestilah komited dan melakukan libat urus secara berterusan dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara.

“Apa yang saya tekankan di sini ialah kita perlu agresif memikirkan inisiatif untuk mencari langkah penyelesaian jangka panjang seperti menyesuaikan dengan perubahan iklim,” katanya.

Menyentuh ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung ancaman Monsun Timur Laut yang berterusan sehingga Mac ini, Mohamad berkata, kerajaan melaksanakan pemberian subsidi kepada petani terlibat untuk meringankan beban rakyat.

“Kita (MAFS) telah melaksanakannya (pemberian bantuan) kepada pesawah-pesawah di Kelantan, Terengganu sebanyak RM250 kepada mereka.

“Insya-Allah, selepas ini kita akan melawat Kedah,” katanya sambil memberitahu musim tengkujuh baru-baru ini telah memberi kesan kepada 8,166 petani melibatkan 13,244 hektar dengan nilai kerosakan dianggarkan berjumlah RM48.6 juta.

Justeru, beliau mengingatkan supaya agihan bantuan kepada petani terjejas perlu disegerakan supaya apa sahaja gangguan terhadap bekalan makanan negara dapat dielak dan dipulihkan.

Baca juga ‘Hal makanan tolonglah, jangan main politik’ – Mohamad Sabu