PPR Lembah Subang 1: Adun Seri Setia, MP Petaling Jaya bakal jumpa menteri

EKSKLUSIF SIRI 4 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia Halimey Abu Bakar dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung telah memberi jaminan bahawa mereka akan mendapatkan penyelesaian kepada masalah kemudahan awam yang membelenggu penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, Petaling Jaya buat sekian lama.

Halimey dan Lee akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.

“Kali ini, kita di bawah menteri dan kerajaan yang baharu. Saya dan Chean Chung akan adakan pertemuan dengan menteri yang baharu. Kami nak bentangkan (masalah dihadapi) dan pada masa sama memohon kerajaan baharu ini agar membantu terutamanya kepada penduduk-penduduk di kawasan PPR Lembah Subang 1 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Harapan Daily ketika ditemui di Konvensyen Pilihan Raya Negeri Selangor yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, pada Sabtu.

Ditanya bila pertemuan itu bakal berlangsung, Halimey berkata Chean Chung (Ahli Parlimen Petaling Jaya) sudah memaklumkan kepada pihak menteri mengenai perancangan mereka untuk pertemuan berkenaan.

“Tunggu tarikh daripada beliau (YB Nga Kor Ming) untuk temu janji itu dan insyaAllah dalam perjumpaan itu, kita hendak memastikan bahawa masalah di flat berkenaan dapat selesaikan.

“InsyaAllah, kita akan selesaikan secepat mungkin dan saya menjangkakan dalam masa sebulan dua ini, saya akan dapat berjumpa dengan menteri,” katanya lagi.

Dalam siri laporan terdahulu, penduduk telahpun mengeluh tentang masalah lif di kediaman mereka.

Penduduk Blok H, Mazlan Md Yunos memberitahu, mereka terpaksa berdepan dengan masalah lif rosak setiap hari, sekali gus menyukarkan aktiviti seharian.

Baru-baru ini, pihak pengurusan di flat berkenaan memaklumkan bahawa kerja baik pulih lif dijangka akan mula dilaksanakan pada Mac ini.

Malah, tinjauan Harapan Daily di flat itu mendapati penduduk juga pernah mengalami pengalaman ngeri apabila anak mereka patah kaki akibat tergelincir daripada tangga yang tiada pemegang.

BACA JUGA: Fajar baru menyinsing, lif PPR Lembah Subang bakal dibaikpulih

Beratus unit rumah tapi satu, dua lif saja boleh guna

Anak pernah patah kaki akibat tiada pemegang tangga