Kerajaan akan tentukan kaedah lain elak keluar caruman KWSP

Pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menampung kelompok tertentu yang terjejas dalam fasa pemilihan eknomi pasca wabak Covid 19 amat tidak digalakkan.

Hal itu kerana pengeluaran KWSP telah dibenarkan oleh kerajaan terdahulu lebih daripada 2 kali dan sebahagian pencarum tidak lagi mempunyai had simpanan yang layak dikeluarkan

Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau bimbang masa hadapan pencarum bakal terjejas sekiranya kerajaan sewenang-wenangnya membenarkan satu lagi kelulusan untuk pengeluaran KWSP.

“Kalau kita tengok orang yang ada simpanan KWSP ini, duitnya sedikit sekali. Jadi saya perlu timbang di antara keperluan mendesak dan masa depan mereka.

“Saya periksa jumlah (simpanan KWSP) yang majoriti pencarum ada, jumlahnya sangat kecil. Jadi lebih baik kerajaan cari jalan lain bagi membantu mereka (pencarum),” katanya.

Sebelum ini, Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) secara bersama dengan Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) menyokong Tuntutan Pengeluaran KWSP 2.0 secara bersasar.

Menurut pertubuhan itu, melalui kes-kes dan aduan-aduan diterima mereka masalah hutang tertunggak, kesusahan dan taraf ekonomi rakyat yang teruk adalah sangat tinggi terutama pada era pasca pandemik.

Kelmarin, Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (ARM) pula menyerahkan resolusi meminta kerajaan mempertimbangkan kelulusan pengeluaran wang caruman KWSP sehingga RM30,000.

Presidennya, Khairul Anuar Othman berkata, pengeluaran secara one-off antara RM10,000 hingga RM30,000 itu adalah sebagai penyelesaian jangka pendek dan panjang supaya rakyat tidak terputus perbelanjaan wang tunai.

BACA JUGA Pelan Pembangunan Strategi 2030 pacu Sarawak jadi negeri maju