Pelan Pembangunan Strategi 2030 pacu Sarawak jadi negeri maju

Negeri Sarawak diyakini mencapai status negeri maju dengan perkembangan ekonomi menjelang 2030 menerusi kewujudan Pelan Strategi Pembangunan 2030 Pasca Covid-19 (PCDS 2030).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata kewujudan PCDS adalah hasil daripada interaksi pemegang taruh berkenaan ekonomi Sarawak bagi memulihkan ekonomi serta memberi hala tuju jelas dalam memajukan negeri itu.

“PCDS 2030 mempunyai haluan ke arah kemajuan Sarawak pada tahun 2030 dalam memastikan Sarawak menjadi negeri termaju di Malaysia dengan pendapatan yang tinggi.

“Sarawak dapat mencapai impian tersebut memandangkan Sarawak mempunyai sumber asli yang boleh digunakan untuk menggalakkan pembangunan ekonomi bagi mentransformasikan Sarawak,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak 2022.

PCDS 2030 yang dilancarkan pada Julai 2021 merupakan inisiatif bagi Sarawak menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030 dan memberikan pendapatan tinggi kepada rakyatnya dengan sasaran menggandakan pertumbuhan ekonomi daripada RM136 bilion pada 2019 kepada RM282 bilion pada 2030.

Antara objektif teras PCDS 2030 adalah mengubah struktur ekonomi, memodenkan dan meningkatkan kecekapan, meningkatkan pendapatan isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan meletakkan kelestarian alam sekitar dalam usaha pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang panjang.

Di bawah PCDS 2030 terdapat enam sektor ekonomi utama sebagai pemacu pertumbuhan iaitu pembuatan, pertanian komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan dan perkhidmatan sosial.

Enam sektor berkenaan akan disokong tujuh pemboleh ubah iaitu transformasi digital, inovasi, infrastruktur asas, pengangkutan, utiliti, tenaga boleh diperbaharui, pendidikan serta pembangunan modal insan.

Fasa pertama PCDS 2030 sedang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bermula tahun 2021 hingga 2025.

BACA JUGA Sikap biadab MB Terengganu mahu isytihar ‘perang’ dengan Persekutuan?