Kerjasama KKD – platform media sosial elak berita palsu menjelang PRN

Kementerian Komunikasi Digital (KKD) akan bekerjasama dengan penyedia-penyedia platform media sosial di negara ini bagi mengekang penularan berita palsu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) beberapa bulan akan datang.

Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil berkata hubungan kerja yang baik itu diharap akan dapat membantu menyekat penyebaran info atau maklumat palsu yang sering dimainkan oleh pihak berkepentingan di laman media sosial.

“Saya lihat hubungan kerjasama yang baik di antara pihak kementerian dan agensi-agensi termasuk penyedia-penyedia perkhidmatan media sosial seperti Metta (Facebook) dan Tik Tok.

“Kerjasama yang lebih erat dijalin bukan hanya menuju PRN sahaja tetapi akan diteruskan di masa-masa depan.

“Bagi saya sangat penting pihak kerajaan mempunyai ruang daripada segi dasar untuk menyatakan bahawa berita palsu dan maklumat yang tidak benar perlu dikekang dengan segera,” katanya pada sidang media selepas Majlis Ulang Tahun ke-10 Klik Dengan Bijak anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pagi tadi.

Katanya, beliau berhasrat agar pihak penyedia perkhidmatan media sosial menambah baik perkhidmatan termasuk isu berkaitan algoritma, ‘artificial intelligence’ (teknologi kecerdasan buatan) dan ‘community guidelines’ (garis panduan komuniti).

Fahmi mengalu-alukan kerjasama dengan pihak yang berkaitan kerana katanya, terlalu banyak aduan yang telah diterima mengenai isu berita palsu termasuk aktiviti penipuan atas talian atau scam.

BACA JUGA: Akta Perkhidmatan Parlimen akan kembali