Mampukah limau kasturi melawan naratif takfiri?
Entahkan saya yang terlalu serius atau Radio IKIM yang hanyut gara-gara terlalu santai. Berkerut juga dahi mendengar topik yang diutarakan dalam Warna Pagi hari ini.
Selama tiga jam sehingga pukul 10 pagi, limau kasturi diangkat sebagai topik sembang dalam saluran radio yang dicanang sebagai “menyebarkan kefahaman Islam sebenar”.
Ketika masyarakat Melayu bertalu-talu dijamu dengan siri tulisan Presiden Pas seperti semalam dengan tajuk, “Apabila penipu, pencuri dan perompak bersatu”, media IKIM nampaknya bersungguh-sungguh bercerita tentang khasiat limau kasturi.
Selepas semaian naratif ‘undi PH, BN masuk neraka’ yang diucapkan pemimpin muda Pas menuai pola keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), penyampai Radio IKIM gigih sungguh membacakan kiriman-kiriman WhatsApp pendengar berkenaan manfaat limau kasturi.
Mendengarkan celoteh cergas dua juruhebah radio itu pagi tadi, alangkah baiknya jika semangat yang sama wujud dalam memberi pencerahan mengenai makna dan nilai manusiawi serta mengangkat topik Malaysia Madani.
Untuk bersikap adil, mungkin slot tersebut dalam hari-hari sebelum ini mengetengahkan topik pagi yang lebih serius dalam usaha meningkatkan “kefahaman Islam” rakyat Malaysia.
Mungkin dalam keadaan minda pagi yang segar, Radio IKIM pernah pun mengajak khalayak pendengar bermesra dengan topik lebih membina, contohnya, bagaimana rakyat mengatasi kemelut kos sara hidup melambung. Mungkinlah.
Namun, hal seputar limau kasturi pada pagi hari ketika ramai pemandu di Lembah Klang dan bandar utama bersesak di jalan raya menuju ke tempat kerja, tentulah tidak adil dibincangkan dalam saluran medium penyiaran Islam.
Kita mengharapkan media era Kerajaan Perpaduan ini lebih-lebih lagi Radio IKIM berperanan menyingkap serkupan naratif takfiri yang membunuh nilai akal budi sebahagian masyarakat Islam di negara ini.
Selaras dengan nama jenama “kefahaman Islam”, pihak penerbit rancangan dan penyampai radio boleh sahaja kreatif mengetengahkan topik Malaysia Madani disebut-sebut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kesedaran untuk mengilmukan masyarakat dalam era Kerajaan Perpaduan inilah yang wajar ditekankan pihak media lebih-lebih lagi yang beridentitikan Islam.
Bak kata kolumnis Uthaya Sankar SB, rakyat Malaysia tidak boleh hanya berbangga dengan ketokohan Anwar sahaja.
Fenomena tidak dapat menahan diri untuk kagum dengan karisma kepimpinan Anwar hingga menjadi gurauan di Twitter perlu disokong dengan naratif dan usaha melawan kebebalan pihak yang menyebarkan permusuhan dan kebencian dalam masyarakat Melayu.
Tokoh yang sinonim dengan laungan ‘Reformasi’ itu telah pun menjadikan kediaman rasmi Seri Perdana sebagai tempat pertemuan ulama dan asatizah selain membuka ruang kepada penjawat awam untuk menegur Kerajaan Perpaduan termasuk dirinya yang memegang portfolio Menteri Kewangan.
Penekanan Anwar terhadap ilmu dan nilai integriti inilah perlu seiring dengan gerak kerja di peringkat kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bahkan media.
Sekarang dengan kesungguhan Kerajaan Perpaduan terhadap aspek tatakelola baik, masyarakat perlu dididik untuk membezakan antara akidah dan ijtihad siasiyah.
Orang Melayu khususnya perlu diberi kesedaran mengenai pengetahuan ilmu akidah, syariah dan moral Islam. Tidaklah suka-suka ‘menerakakan’ pihak yang tidak sealiran atau lebih tepat tidak separti politik dengannya.
Hasrat Perdana Menteri melalui gagasan Masyarakat Madani sebenarnya menepati apa yang disebut penulis buku Mitos Peribumi Malas, Almarhum Syed Hussein Al-Attas sebagai “cita sempurna”.
Keterujaan media yang sepatutnya memahamkan pemikiran Islam di akar umbi tetapi bercerita tentang kelebihan limau kasturi sehingga tiga jam tidak menyumbang usaha untuk mencapai cita sempurna yang menekankan pembangunan bersandarkan kepada ilmu dan mengandungi sifat insaniah.
Sembang limau kasturi juga tidak membantu mencairkan gejala takfiri dan perangai ‘tibaiyun’ dengan menyebarkan fitnah dan adu domba yang marak bernyala di media sosial.
Jauh lebih penting, naratif limau kasturi itu boleh dianggap sebagai isyarat jelas buat pemimpin Kerajaan Perpaduan hari ini untuk melakukan ‘pembersihan’ terhadap medium media yang sepatutnya rancak menyebarluaskan cita sempurna untuk Masyarakat Madani menjadi nyata.
Baca juga Dengan momentum Anwar, PH boleh tarik balik pengundi Melayu