Madani konsep ketamadunan dibincang sejak era kegemilangan Islam
Konsep negara madani telah dibincang pelbagai sarjana sejak era kegemilangan Islam lebih seribu tahun lampau sehinggalah ke hari ini.
Menurut bekas Profesor UIAM, Dr Muhammad Nor Manuty, ulama salaf pada peringkat awal era empayar Bani Umayyah dan Abbasiyah telah menganggap madani sebagai ilmu ketamadunan dan pembinaan negara Islam.
“Ulama salaf seperti al Farabi berkata madani itu dirujuk sebagai ilmu ketamaduman, peradaban.
“Iaitu pelbagai jenis perlakuan dan cara hidup manusia, mengkaji akhlak manusia dan mahu mencapai kebahagian atau as saadah. Hari ini PBB membuat Happiness Index, mungkin ada kaitan tetapi tidak semestinya sempurna seperti as saadah.
“Bahagian kedua dari makna tamadun itu adalah cara mengatur sistem akhlak, peranan fungsi institusi politik, ketiga program memelihara adab manakala keempat jenis sistem politik,” katanya dalam Wacana Membangun Malaysia MADANI, di Putrajaya pagi tadi.
Begitu juga pengkaji ilmu kemanusiaan seperti Ibnu Khaldun, kata Mohammad, telah mengkaji mengenai sikap masyarakat jahiliah di kalangan orang Arab sebelum dan selepas proses ketamadunan berlaku ke atas mereka.
“Saya ingin menyatakan ulama silam seperti ibn Khaldun yang menggunakan dua istilah, penghidupan komuniti badawah, iaitu masyarakat jahiliah yang duduk di padang pasir, kemudian berhijrah dan membina kota serta bertamadun
“Kedua duanya berkait dengan konsep madani,” kata tokoh ilmuan Islam PKR itu.
Begitu juga, kata Muhammad, ulama terkemudian seperti Sheikh Muhammad Abduh yang berdebat dengan tokoh Kristian mengenai ketamadunan Islam dan menekankan hal hal ketamadunan telah dibincangkan sejak seribu tahun lampau dalam konsep madani. Juga Sheikh Yusuf Qaradawi dalam bukunya Figh Daulah Menurut Perspektif Islam.
Dr Muhammad berkata dalam negara Islam terdapat konsep madaniah, seperti amalan demokrasi yang mana Qaradawi berkata demokrasi merupakan sistem politik terbaik kerana wujud kebebasan bersuara, cara memilih pemimpin atau tolak pemimpin yang tidak dikehendaki secara tertib dan aman.
BACA JUGA Malaysia Madani: kerangka wawasan Anwar