Malaysia Madani tidak akan abai Sabah, Sarawak

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tegas bahawa tidak akan mengizinkan hal-hal yang boleh meminggirkan kaum lain dalam negara ini lebih-lebih lagi bagi rakyat di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, dengan pelantikan Timbalan Menteri, Ahmad Fadillah Yusof, kerajaan berhasrat menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat Sabah dan Sarawak terutama berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Dari awal saya mengarahkan TPM menyelesaikan masalah yang selama ini mengguris perasaan Sabah dan Sarawak. Saya beri ruang sepenuhnya untuk selesaikan semua yang tertunggak.

“Dalam perjanjian itu ada yang munasabah, ada yang tak munasabah umpamanya untuk membina projek berharga RM10 juta tapi kena rujuk ibu pejabat Putrajaya. Ini akan ambil masa panjang.

“Mana mungkin setelah 60 tahun kita tak boleh beri hak putuskan dan laksanakan projek RM10 juta dengan sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Menteri, Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, beliau akan menghadiri mesyuarat MA63 di Kuching, Sarawak esok bagi menyelesaikan beberapa hal dan memberi jaminan sebahagian besar permasalahan yang diutarakan akan diselesaikan.

“Saya akan ada mesyuarat Perjanjian Malaysia di Kuching, Sarawak esok. Insya-Allah sebahagian besar hal ini dapat diselesaikan,” katanya lagi.

Baca juga Malaysia Madani pendekatan terbaik selamatkan negara – Anwar