Pendakwaan mesti cekap elak penjenayah kolar putih terlepas

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengingatkan bahawa pendakwaan susulan pendedahan Perdana Menteri mengenai ketirisan wang kerajaan sehingga RM4 bilion mesti dilakukan secara cekap dan profesional.

Menurutnya, pendedahan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai ketirisan kepada parti dan tokoh tertentu itu perlu disusuli dengan siasatan segera secara menyeluruh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kes yang hendak dibawa ke mahkamah itu mestilah kukuh dari segi fakta dan undang-undang supaya penjenayah kolar putih ini tidak boleh terlepas,” katanya.

Sehubungan itu, wakil rakyat PKR berkenaan berharap agensi-agensi terbabit termasuk Jabatan Pendakwa Raya serta Peguam Negara tidak boleh sekadar berpeluk tubuh sahaja.

Kelmarin, Anwar semasa berucap pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 mengenal pasti ‘kebocoran’ kewangan antara RM3 bilion hingga RM4 bilion sejak dua bulan beliau berada di Kementerian Kewangan.

Dalam masa sama, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan boleh menjimatkan sehingga RM10 bilion daripada kebocoran jika ada kerjasama terutama di kementerian penting itu.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, rakyat dan ahli-ahli Parlimen akan menyokong usaha Perdana Menteri untuk membanteras rasuah.

“Saya ingin mengingatkan bahawa pendedahan demi pendedahan hal rasuah, ketirisan, kebocoran tidak akan sampai ke mana-mana jika tiada tindakan siasatan dan pendakwaan dilakukan.

“Dalam memerangi rasuah, kaedah sekadar retorik sahaja tidak diperlukan.

“Yang diperlukan ialah siasatan secara forensik ke akar umbi hal ketirisan dan kebocoran itu berlaku kerana ini duit negara dan duit rakyat,” tambahnya lagi sambil mengingatkan bahawa siasatan sahaja pun tidak ada guna jika fail siasatan ditutup tanpa pendakwaan.

Baca juga Malaysia Madani pendekatan terbaik selamatkan negara – Anwar