Permohonan Najib ketepi hakim Mahkamah Rayuan ditolak

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais kekal sebagai anggota panel hakim yang bersidang di Mahkamah Persekutuan bagi mendengar permohonan semakan kes rasuah SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli berkata, hujah pihak pembelaan tidak sepenuhnya meyakinkan yang hakim tersebut perlu tarik diri.

Ini kerana, undang-undang membenarkan ketua hakim melantik hakim Mahkamah Rayuan untuk duduk bersama dalam kes semakan di Mahkamah Persekutuan, kata beliau.

“Kami tidak diyakinkan bahawa Abu Bakar Jais harus menarik diri daripada mendengar permohonan semakan ini.

“Undang-undang adalah jelas bahawa Ketua Hakim Negara diberi kuasa budi bicara untuk membolehkan hakim Mahkamah Rayuan bersidang di mahkamah persekutuan (bangku simpanan) demi kepentingan keadilan mengikut Perkara 122(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Pagi tadi, peguam bela Najib Razak, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah membangkitkan bantahan awal terhadap hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais yang menjadi sebahagian daripada panel bersidang hari ini bagi mendengar semakan bekas perdana menteri.

Peguam veteran itu berhujah bahawa hanya hakim Mahkamah Persekutuan wajar menjadi panel.

Peguam kanan yang mengetuai pasukan pembelaan Najib mengemukakan bantahan dengan merujuk kepada Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram membalas hujah Shafee mengenai pembabitan hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais dengan merujuk Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan.

Kata Sithambaram peruntukan itu membolehkan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mendapatkan hakim Mahkamah Rayuan untuk menyertai panel Mahkamah Persekutuan jika mendapati ia perlu demi kepentingan keadilan.

BACA JUGA Malaysia Madani pendekatan terbaik selamatkan negara – Anwar