Perubahan iklim: Kerajaan rancang pemeliharaan hutan paya bakau

Perubahan iklim global yang memberi kesan besar ke atas Malaysia perlu ditangani secara holistik.

Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad antara usaha terancang yang akan dilakukan adalah dengan melaksanakan pemeliharaan hutan termasuk hutan paya bakau di negara ini.

Hal itu menurut beliau penting kerana hutan di negara ini yang dianggap paling tua dan paling baik mampu memain peranan sebagai penyerap karbon.

“Kita juga akan melakukan peralihan tenaga daripada menggunakan bahan api fosil selain melihat sumber tenaga lain yang mempunyai elemen penjimatan tenaga.

“Jika kita boleh menjana tenaga seperti solar dan biojisim, kita tidak perlu menggunakan tenaga yang terlalu banyak,” jelasnya.

Nik Nazmi berkata begitu kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Klinik Amal Percuma Yayasan Amal Maaedicare dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (MRCS), di Kuala Lumpur.

Pelancaran itu dilakukan Pengerusi Kebangsaan MRCS, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan dihadiri Pengerusi Yayasan Amal Maadicare, Tunku Yaacob Khyra.

Sementara itu Nik Nazmi turut memaklumkan bahawa kementerian yang dipimpinnya sedang meneliti kesan fenomena El Nino dan La Nina terhadap bekalan sumber air domestik.

“Pada tahun 1990-an, kita mengalami musim kering yang panjang dan beberapa negeri mengalami masalah bekalan air disebabkan simpanan air yang agak kecil.

“Perkara yang menjadi kebimbangan ini ialah keselamatan bekalan air kita.

“Setiap negara mempunyai sasaran bagi mencapai matlamat untuk mengurangkan peningkatan suhu yang berlaku. Sekiranya suhu sudah meningkat melampaui sesuatu tahap akan menjadi semakin sukar kepada kita,” katanya.

Beliau turut menjelaskan kerajaan akan bekerjasama di peringkat antarabangsa bagi menangani isu berkaitan perubahan iklim global yang sering diperkatakan itu.

BACA LAGI Kadar gaji minimum: Masih ada kilang berdegil

Â