Malaysia Madani: Pemuda AMANAH gerakkan wacana di peringkat akar umbi

Pemuda AMANAH akan menggerakkan siri wacana berkaitan konsep ‘Membangun Malaysia Madani’ dalam kalangan anak muda bagi membolehkan ia lebih difahami sehingga ke peringkat akar umbi.

Ketuanya Mohd Hasbie berkata beliau percaya konsep yang dibawa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh difahami oleh setiap anak muda kerana ia memang dalam kerangka pemikiran beliau sejak sekian lama.

“Kami sokong penuh agenda Membangun Malaysia Madani dan kami akan gerakkan wacana dalam kalangan anak muda supaya lebih difahami di peringkat akar umbi,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily di sini pada Jumaat.

Mohd Hasbie berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan program wacana bagi mengupas isi kandungan buku Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi yang  ditulis oleh Anwar.

MOHD HASBIE MUDA

Tambah beliau, AMANAH menyokong penuh agenda ‘Membangun Malaysia Madani’ kerana ia konsisten dengan pendirian Anwar selama ini dalam mengangkat isu kemiskinan dan pembangunan seimbang.

Jelasnya empat teras utama yang ditekankan oleh Perdana Menteri serta tiga strategi untuk menjayakan gagasan Membangun Malaysia Madani sangat tepat dengan keperluan masyarakat pada masa kini.

“Empat teras utama iaitu membina semula ekonomi, menjamin kesejahteraan insan, reformasi institusi demokrasi dan perundangan dan mewujudkan pentadbiran beramanah.

“Intipati ucapan ceramah beliau sejak 30 tahun lalu konsisten dalam angkat isu kemiskinan pembangunan yang seimbang,” kata beliau.

Katanya semua teras itu penting untuk membina semula Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam segenap aspek sekali gus membawa manfaat kepada rakyat termasuk di Pantai Timur yang rata-ratanya masih bergelut dengan pelbagai isu dan masalah.

Semalam dalam amanatnya, Perdana Menteri berkata konsep Membangun Malaysia Madani akan kekal relevan dan dibincangkan sebagai satu iltizam dan pendekatan untuk menyelamatkan negara.

Merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pusaka (DBP), madani membawa maksud maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan.

Antara enam segmen madani yang diperkenalkan oleh Anwar ialah Kemampanan (Sustainability), Prihatin (Caring), Hormat (Respectful), Inovatif (Innovative), Kemakmuran (Prosperous) dan Kepercayaan (Trust).