PM Anwar miliki keupayaan intelek yang tinggi – Dr Dzulkefly

Tanggal 24 November 2022, menoktahkan penantian selama 24 tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bergelar Perdana Menteri Malaysia ke-10 selepas acara angkat sumpah jawatan dilakukan di Istana Negara.

Sosok tubuh bernama Anwar Ibrahim begitu dikenali ramai sebagai figura politik tanah air yang memiliki perjalanan karier ibarat menempuh permainan ‘roller coaster’.

Jatuh bangun, suka duka anak kelahiran Cherok To’ Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu sememangnya diketahui umum, namun beliau tetap menangkap perhatian masyarakat antaranya menerusi kepetahan beliau apabila berbicara.

Menurut Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Perdana Menteri berusia 75 tahun itu seorang yang mempunyai pemikiran aras tinggi.

“Apabila beliau dapat melontarkan sesuatu secara spontan, secara bersahaja, bermakna figura itu sarat dengan apa yang saya istilahkan sebagai seseorang yang mempunyai keupayaan intelek yang tinggi.

“Ianya bukan sekadar pemikiran politik biasa, tetapi ianya adalah pemikiran aras tinggi. Kehebatan dan kepetahan berpidato oleh beliau tiada tolok bandingnya.

“Beliau dalam liga tokoh-tokoh besar seperti bekas Presiden pertama Indonesia, Sukarno. Bukan sahaja kepetahan, tetapi kita boleh tahu dan dapat ‘merasakan’ isinya sarat dengan pemikiran projektif dan futuristik (berpandangan ke masa depan) dan mengambil sejarah hidup sebagai kepemimpinan serta pedoman untuk kehidupan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Harapan Daily, semalam selepas diminta mengulas mengenai ‘kepetahan’ Anwar apabila berucap di khalayak ramai seperti dibualkan netizen.

Menjengah di ruangan media sosial, seorang warga maya menyifatkan Anwar seorang yang cerdik, percakapannya sedap didengar dan juga terkenal seantero dunia.

Malah, menerusi sebuah portal Indonesia, seorang netizen meluahkan rasa kagum apabila menyaksikan Anwar berucap tanpa teks, disulami loghat Melayu-Malaysia di majlis CT Corp Leadership Forum di Indonesia, 9 Januari lalu.

Baca juga Dengan momentum Anwar, PH boleh tarik balik pengundi Melayu