Ular sawa – mimpi ngeri penghuni PPR Lembah Subang 1

EKSKLUSIF: SIRI 5 Kehadiran beberapa ekor ular sawa di kawasan persekitaran semak dan kawasan reban ayam di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 ibarat mimpi ngeri kepada penduduk di flat berkenaan.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Blok 3 PPR Lembah Subang 1, Rythami Japari berkata, beliau dan rakan-rakan pernah menangkap ular sawa lebih enam meter pada awal tahun lepas.

Katanya, penangkapan itu dilakukan susulan daripada maklumat seorang penduduk kaum India. Penduduk tersebut pada mulanya melalui sebuah jambatan di situ dan kemudian menjumpai ular berkenaan.

“Kejadian berlaku ketika hujan lebat dan air daripada longkang telah naik ke kawasan parkir. Masa itu, lif pun tidak boleh digunakan dan pada masa sama, ular itu muncul.

“Apabila ular itu muncul, penduduk tersebut meminta pertolongan kami menangkap ular berkenaan. Sebaik sahaja kita berusaha menangkap, ular itu pula bertindak agresif dan menuju ke kawasan dapur rumah salah sebuah unit rumah.

“Nasib baik rumah itu unit yang kosong. Kita sempat menarik ular itu keluar menggunakan kelengkapan yang ada,” katanya ketika ditemui Harapan Daily, di PPR tersebut semalam.

Rythami yang lebih dikenali sebagai Remy merasakan terdapat lagi ular-ular yang berkeliaran di kawasan kediaman di situ berdasarkan penemuan kulit ular ketika beliau menjalankan kerja seperti memotong rumput.

Remy menunjukkan tempat ular sawa tersebut ditemui pada tahun lalu

“Mungkin ular ini ada dan banyak lagi. Barangkali ular-ular itu akan bergerak ke mana-mana. Saya dan kawan-kawan juga pernah menangkap ular yang dijumpai apabila mengangkat palong pada bulan lepas. Memang ular itu betul-betul berada berdekatan dapur penduduk.

“Kejadian itu memang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk di sini. Setahu saya, di kawasan sekitar sini ada kawasan terbiar, hutan yang agak tak dijaga dan mungkin itulah tempat ular itu membiak,” katanya yang juga merupakan seorang bekas tentera.

Menurut Remy lagi, kehadiran ular berkenaan kemungkinan berpunca daripada tempat membela ayam yang dilihat berpotensi ‘menarik’ reptilia itu untuk datang ke kawasan penduduk.

“Setakat ini, ternakan ada di kawasan sekitar sini sahaja cuma ianya tak banyak. Dari blok A,B,C itu pun ada ternakan ayam, tapi tak banyak. Ternakan dari blok G dan F pula saya rasa saiznya itu besar sedikit dan mungkin atas faktor saiz, ia menjadi tarikan ular untuk datang ke sini.

“Di Blok H juga terdapat reban ayam. Mungkin disebabkan penduduk membela ayam di situ, ia menjadi sumber untuk ular sawa itu datang.

“Jadi saya rasa mungkin itulah punca-punca utama ular ini datang untuk mencari makan. Kalau sebab lain pula kemungkinan atas faktor cuaca iaitu panas atau hujan,” ujarnya lagi.

Ini adalah sebahagian dari cabaran dalam liku kehidupan penduduk yang tinggal di flat PPR.

BACA JUGA: 

PPR Lembah Subang 1: Adun Seri Setia, MP Petaling Jaya bakal jumpa menteri

Fajar baru menyinsing, lif PPR Lembah Subang bakal dibaikpulih 

Beratus unit rumah tapi satu, dua lif saja boleh guna

Anak pernah patah kaki akibat tiada pemegang tangga