Malaysia kutuk aksi bakar al Quran ahli politik Sweden

Tindakan ahli politik berhaluan kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar kitab suci al Quran semalam di Stockholm dikutuk keras oleh kerajaan Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan bermotifkan Islamofobia oleh ahli politik tersebut hanya akan menimbulkan pertentangan agama, bukan sahaja dalam kalangan negara umat Islam di Eropah seperti Turkiye tetapi muslim seluruh dunia.

“Malaysia menggesa Kerajaan Sweden mengambil langkah segera terhadap pelaku perbuatan keji ini serta memastikan langkah drastik pada masa depan untuk menangani kebangkitan Islamofobia yang membimbangkan di Sweden.

“Pencemaran Kitab Suci Islam secara terang-terangan oleh ahli politik Sweden itu dan ketiadaan tindakan adalah sama dengan mencetuskan Islamofobia, dan merupakan provokasi besar terhadap sensitiviti bukan sahaja di Turkiye tetapi lebih daripada dua bilion umat Islam di dunia,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Sehubungan itu, Anwar berkata, prinsip saling menghormati antara agama amat penting dan seharusnya pertikaian diselesaikan dengan cara dialog bukan secara provokasi yang berselindung di belakang hak asasi manusia atau kebebasan bersuara.

“Malaysia mengecam jenayah kebencian berulang kali menyasarkan umat Islam serta segala bentuk hasutan untuk membenci dan menyemarakkan perkauman dalam perkataan atau perbuatan, dan memerhati dengan penuh kebimbangan terhadap gelombang ucapan kebencian yang meningkat kerana kepercayaan atau etnik.

“Malaysia mengulangi pentingnya menegakkan prinsip dialog dan saling menghormati dalam penyelesaian pertikaian serta menyeru masyarakat antarabangsa menolak umpan kaum atau agama dengan berselindung di sebalik kebebasan bersuara,” katanya lagi.

BACA LAGI Gaji minimum permulaan untuk gaji bermaruah