Jangan jadi menteri kalau mahu kaya

Konsisten memerangi rasuah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan menteri untuk meletakkan jawatan dan fokus kepada perniagaan jika mahu kaya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan berkata, kemajuan negara ini dapat dicapai apabila pemimpin menolak rasuah.

Perdana Menteri dan isteri menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina di ibu negara.

“Kalau mahu rakyat sokong pemimpin, jelas saya ingatkan di sini, mana-mana pemimpin mesti tolak rasuah atau salah guna kuasa.

“Mahu kaya, masuk berniaga. Jadi ‘businessman’. Yang mahu jadi menteri dan mahu cari wang untuk jadi kaya, kena keluar bukan lagi jadi menteri dan tumpu kepada perniagaan,” tegasnya.

Anwar berkata demikian semasa berucap di majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di ibu negara semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun itu berkata, negara bakal rosak jika pemimpin yang menyertai parti politik mengamalkan rasuah kerana mahu menjadi kaya.

Dalam masa sama, Anwar turut menyeru supaya masyarakat memantapkan semangat perpaduan serta mengurangkan pergelutan soal kaum dalam memastikan kestabilan dan kemajuan negara.

Baca juga Rakyat akui bekalan telur mencukupi