Ketengahkan calon muda untuk PRN

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan Mohamad Ezzat Zahrim mahu calon muda diketengahkan sebagai strategi baru dan pelapis pemimpin untuk menarik minat pengundi dalam sesi pilihan raya negeri (PRN) kali ini yang akan berlangsung di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

 

“Beri peluang pada calon muda untuk diketengahkan PRN nanti. Kita lihat di negeri Selangor, menteri besarnya seorang yang masih muda mampu membuat banyak pelan baharu dan iniastifi-iniasitif yang menyentuh kebajikan rakyat Selangor secara konsisten,” kata Ezzat, merujuk kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari yang juga naib presiden PKR

 

“Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) ketika menjadi menteri (di Kementerian Belia dan Sukan dalam kerajaan terdahulu), banyak perubahan dasar yang beliau lakukan. Kita tidak boleh nafi keupayaan calon muda. Sebab utamanya ialah golongan muda lebih terdedah kepada isu dan tuntutan semasa, jadi mereka (pemimpin muda) lebih memahami masalah sekarang,” katanya.

 

Contoh calon muda PKR yang berjaya – Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari

Ezzat juga menekankan, pemantapan jentera dan kerjasama dalam kompenan Pakatan Harapan (PH) perlu disiap siaga sebelum menjelang PRN nanti bagi menarik minat pengundi khususnya Kelantan yang merupakan kubu kuat PAS.

 

“Jentera PH perlu bersedia dari segi persiapan yang mantap. Dalam PKR khususnya, jentera pemuda dan wanita perlu dimobilisasi di peringkat bawahan sebagai langkah awal untuk persediaan PRN nanti sebab di Kelantan, PAS mempunyai kelebihan dari segi minat pengundi.

“Contoh yang saya boleh berikan ialah Takiyuddin Hassan (Ahli Parlimen Kota Bharu). Beliau bukan orang Kelantan. Tuan Ibrahim Tuan Mat (Ahli Parlimen Kubang Kerian) juga berasal dari Pahang mereka dipilih pengundi atas sebab tiket PAS,” ujarnya.

 

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim cukup prihatin dengan perkembangan yang berlaku di negeri Kelantan. Menteri kabinetnya turut memberi bantuan melalui peruntukan kementerian kepada rakyat Kelantan meskipun negeri itu ditadbir oleh Pas.

 

Dalam perkembangan berkaitan,  Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Hasbie Muda yakin bahawa wawasan Malaysia Madani juga mampu meranapkan ketaksuban pengundi muda kepada Pas.

 

BACA JUGA: Ketaksuban anak muda terhadap Pas boleh dipatahkan melalui Malaysia Madani